Sinar Harian
KUALA TERENGGANU - Tempoh reman terhadap tiga ahli keluarga angkat yang disyaki terlibat dalam kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan di Kampung Banggol Katong, di sini, disambung selama enam hari lagi.Perintah sambungan reman sehingga 25 April itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, pada Ahad.Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an hingga 50-an yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan oleh keluarga angkatnya sendiri dalam kejadian pada 13 April lalu.Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri pada mulanya dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang sebelum disahkan meninggal dunia."Hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh kanak-kanak tersebut menemukan kesan lebam dan luka pada beberapa bahagian badan termasuk dada kiri, kedua-dua paha serta betis kanan."Terdapat juga tanda bengkak dan gelembung air yang menunjukkan kemungkinan berlakunya jangkitan kuman pada mangsa sekali gus menimbulkan syak wujud unsur penderaan," katanya.Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.Jelasnya lagi, jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Go to News Site