Sinar Harian
SANDAKAN - Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dijangka melawat lokasi kebakaran Kampung Bahagia, Batu Sapi, pada Isnin ini bagi meninjau keadaan serta menyampaikan bantuan kepada mangsa terjejas.Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, Ketua Menteri turut dijangka mengumumkan tindakan susulan yang akan diambil kerajaan selepas tragedi berkenaan."Saya ingin memaklumkan bahawa esok, insya-Allah Ketua Menteri akan turun ke Kampung Bahagia dan seterusnya menyampaikan beberapa bantuan kepada mangsa."Beliau juga akan mengumumkan apakah tindakan yang akan diambil selepas kejadian yang menyayat hati ini berlaku," katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi kebakaran, pada Ahad.Menurutnya, pihak Parlimen Batu Sapi akan terus berada di lokasi bagi menyelaras segala bentuk bantuan dan sokongan kepada penduduk terjejas.Katanya, aspek komunikasi dan penyelarasan antara mangsa kebakaran dengan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara tersusun dan berkesan."Pihak Parlimen akan sentiasa berada di ‘ground zero’ untuk menggerakkan segala jenis bantuan dan sokongan."Paling penting, kita mahu pastikan koordinasi antara mangsa kebakaran dengan semua agensi kerajaan dapat disusun rapi supaya tidak timbul sebarang salah faham atau masalah komunikasi dalam keadaan getir ini," katanya.Beliau yakin dengan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri Sabah, mangsa kebakaran akan dibantu sebaik mungkin termasuk dari segi penempatan semula.Mengulas mengenai kejadian kebakaran yang dilaporkan kali ketiga berlaku di kawasan itu, Khairul Firdaus berkata bahawa kerajaan kini sudah mewartakan kawasan kampung berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan yang lebih tersusun."Untuk makluman semua, sebelum ini kerajaan terdahulu tidak pernah mewartakan kawasan kampung ini. Kali ini kerajaan kita telah mewartakannya."Apabila kampung ini telah diwartakan, banyak pembangunan yang lebih rapi akan diusahakan dan seperti yang dibangkitkan tadi, kita akan melakukan pelbagai cara untuk memastikan perkara ini tidak akan berulang," katanya.Beliau berkata, bahawa antara cadangan yang boleh dipertimbangkan termasuk pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) atau penyediaan semula penempatan kepada penduduk yang kehilangan rumah."Saya tidak mahu berjanji, tetapi kita boleh berbincang dengan kerajaan negeri untuk mendirikan Program Perumahan Rakyat (PPR). Jika bukan PPR, kita akan mengembalikan penempatan seperti yang mereka duduki dahulu," katanya.
Go to News Site