Collector
Petugas TH sedia sambut 31,600 jemaah di Madinah | Collector
Petugas TH sedia sambut 31,600 jemaah di Madinah
Sinar Harian

Petugas TH sedia sambut 31,600 jemaah di Madinah

MADINAH – [KEMAS KINI] Petugas Lembaga Tabung Haji (TH) bersiap siaga bagi menyambut ketibaan 31,600 jemaah haji Malaysia sempena Operasi Haji Madinah musim 1447H yang kini berjalan lancar.Seramai 150 petugas tiba lebih awal di bumi Madinah pada 12 April lalu bagi memulakan gerak kerja operasi, sekali gus memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum sebelum ketibaan jemaah.Operasi tersebut diketuai Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah yang bertanggungjawab menyelaras keseluruhan pengurusan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci."Kesemua petugas telah bersedia sepenuhnya dan komited untuk memastikan setiap jemaah haji Malaysia menerima perkhidmatan terbaik serta dapat menunaikan ibadah dalam keadaan selesa dan teratur," kata TH menerusi satu kenyataan.Daripada jumlah keseluruhan, seramai 40 petugas ditempatkan dalam sektor kebajikan, manakala 35 lagi terdiri daripada petugas perubatan bagi memastikan aspek kesihatan dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.Bagi musim haji kali ini, TH menetapkan tiga zon penginapan utama di sekitar Masjid Nabawi bagi melancarkan pengurusan logistik.Zon berkenaan melibatkan Hotel Emaar Royal (Zon 1), Hotel Anwar Al Madinah Movenpick (Zon 2) dan Hotel Emaar Elite (Zon 3).Hotel Emaar Elite yang merupakan bangunan baharu menjadi antara tumpuan apabila terletak kira-kira 150 meter dari Masjid Nabawi, sekali gus memudahkan jemaah untuk beribadah.Dalam pada itu, Pusat Pentadbiran Operasi Madinah turut dipindahkan ke lokasi baharu di Hotel Zaha Taiba yang lebih strategik dan berhampiran Masjid Nabawi."Pemilihan lokasi baharu ini diyakini dapat meningkatkan kecekapan operasi serta memudahkan penyelarasan antara unit terlibat sepanjang musim haji berlangsung," katanya.Kemudahan moden termasuk ruang dapur dan restoran yang lebih selesa di pusat pentadbiran baharu itu dijangka mampu meningkatkan kecekapan pengurusan operasi.Bangunan tersebut menempatkan pelbagai unit penting antaranya Pejabat Pengarah Operasi, Operasi Perubatan, Unit Pentadbiran, Bilik Maklumat Operasi, Unit Alokasi, Unit Pengendalian, Unit Kewangan serta Unit Pengelola Jemaah Haji.Langkah proaktif TH itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara, sekali gus membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah dalam suasana kondusif.

Go to News Site