Sinar Harian
KOTA TINGGI – Seorang lelaki warga tempatan telah ditahan polis susulan kejadian tembakan yang mengorbankan tiga individu di sebuah restoran di bandar ini pada Ahad.Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 37 hingga 63 tahun disahkan maut di lokasi selepas dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun.Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek berusia 71 tahun ditahan kira-kira jam 2 petang, iaitu sekitar 200 meter dari lokasi kejadian."Polis turut merampas sepucuk senjata api jenis shotgun buatan Benelli M/Super yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan.Menurut beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki lesen senjata api yang sah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)."Lesen senjata api tersebut adalah bagi tujuan menjaga tanaman, memandangkan suspek mempunyai tanah pertanian," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan, namun siasatan awal tidak menolak kemungkinan ia berkaitan masalah hutang peribadi."Bagaimanapun, kes ini tidak melibatkan unsur kongsi gelap atau keganasan," katanya.Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Isnin, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Go to News Site