Sinar Harian
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selesai mengadakan sesi ujian kelajuan dan kualiti liputan selular di sepanjang laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat, Johor pada Ahad.MCMC dalam satu kenyataan berkata, ujian tersebut dilaksanakan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications dan Digital Nasional Berhad.Menurut kenyataan itu, ia bertujuan menilai prestasi liputan dan kelajuan rangkaian 4G serta 5G secara masa nyata di sepanjang laluan rel yang merupakan antara koridor pengangkutan utama negara."Pelbagai parameter teknikal diukur termasuk kelajuan muat turun dan muat naik, kestabilan sambungan data serta kesinambungan liputan tanpa gangguan."Pengujian ini menggunakan peralatan khusus dan aplikasi pemantauan rangkaian bagi memastikan dapatan yang tepat serta komprehensif."Pada masa ini, sebanyak 71 peratus kawasan liputan telah dilengkapi dengan perkhidmatan 5G dan peluasan liputan ini akan diteruskan secara berperingkat," katanya.Sesi ujian itu turut disertai Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.Pengujian dibuat merentasi beberapa negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.Bagaimanapun, menurut MCMC, terdapat beberapa lokasi tertentu yang dikenal pasti mengalami penurunan kualiti liputan dan kelajuan muat turun, khususnya di kawasan luar bandar dan jajaran tertentu.Antaranya sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor utara yang memerlukan tindakan penambahbaikan serta pengoptimuman lanjut oleh pihak penyedia perkhidmatan."Hasil dapatan ujian ini akan dianalisis secara terperinci oleh MCMC bagi mengenal pasti jurang liputan serta merangka tindakan susulan yang bersesuaian bersama pihak industri."Usaha ini merupakan komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk memastikan liputan komunikasi stabil dan berkualiti tinggi bukan sahaja di kawasan berpenduduk, tetapi juga di sepanjang laluan pengangkutan awam yang kritikal," ujar agensi itu.MCMC turut memaklumkan, sejumlah 2,350 auditan dijalankan dan 280 notis pematuhan dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] bagi tempoh antara 1 Januari hingga 15 April lalu kepada pemberi perkhidmatan kerana ketidakpatuhan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan.Atas dasar itu, MCMC memberi jaminan akan terus memperkukuh pemantauan kualiti perkhidmatan dan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan penyediaan infrastruktur komunikasi yang mampan, berdaya tahan serta memenuhi keperluan rakyat."Orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi MCMC NEXUS secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery untuk menguji kelajuan Internet."Selain itu, menyumbang data prestasi rangkaian sebenar di lokasi masing-masing tanpa melibatkan pengumpulan maklumat peribadi pengguna," katanya.
Go to News Site