Collector
Pakej bantuan negeri wajar namun perlu ikut kemampuan kewangan | Collector
Pakej bantuan negeri wajar namun perlu ikut kemampuan kewangan
Sinar Harian

Pakej bantuan negeri wajar namun perlu ikut kemampuan kewangan

SHAH ALAM - Langkah beberapa kerajaan negeri memperkenalkan pakej bantuan bagi meringankan beban rakyat dilihat wajar namun perlu dilaksanakan secara bersasar dan mengikut kemampuan kewangan negeri.Penganalisis ekonomi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, inisiatif seperti diskaun elektrik, moratorium pinjaman serta insentif kepada petani dan pesawah merupakan langkah positif dalam menangani tekanan kos sara hidup ketika ini."Bagaimanapun, dari sudut ekonomi pasaran bebas, pemberian subsidi secara meluas boleh menyebabkan herotan pasaran (market distortion)," katanya.Nuradli Ridzwan yang juga Presiden Persatuan Muamalat Malaysia (MMA) berkata, subsidi boleh disalurkan sama ada kepada pengguna atau pengeluar, bergantung kepada keperluan semasa dan kesan yang ingin dicapai kerajaan.Bagaimanapun, beliau berpandangan setiap negeri tidak perlu melaksanakan pendekatan sama kerana ia bergantung kepada kemampuan kewangan masing-masing.Sementara itu, pakar ekonomi, Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berkata, inisiatif beberapa kerajaan negeri memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi disifatkan sebagai langkah tepat dan proaktif dalam membantu rakyat serta industri.Beliau berpandangan, pakej tersebut jelas berperanan sebagai suntikan sokongan kepada pelbagai sektor terkesan khususnya melibatkan penggunaan diesel dan petrol."Jika tiada rangsangan daripada kerajaan negeri, sektor-sektor yang menggunakan bahan api seperti logistik, syarikat kecil yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan lori kecil, termasuk nelayan serta petani akan terjejas."Ada dalam kalangan mereka tidak berdaftar dan tidak menikmati subsidi, sekali gus menambah beban kos operasi," katanya.Dalam pada itu pakar ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, inisiatif kerajaan Selangor melaksanakan pakej pengukuhan daya tahan berjumlah RM131 juta disifatkan sebagai langkah proaktif dasar fiskal negeri khususnya bagi membantu rakyat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan cabaran krisis tenaga.Beliau berkata, langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap tekanan ekonomi semasa selaras kedudukan Selangor sebagai negeri penyumbang ekonomi terbesar negara.Pada Khamis, Selangor, Terengganu, Sarawak dan Melaka memperkenalkan pelbagai insentif bagi mengurangkan beban rakyat susulan krisis bekalan tenaga global.

Go to News Site