Sinar Harian
PUTRAJAYA – Pangkalan Data Utama (PADU) kini memasuki fasa baharu apabila kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan perkhidmatan dengan 26 agensi serta jabatan telah menggunapakai sistem itu setakat Mac lalu.Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, antara agensi yang telah menggunakan sistem tersebut termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang membuat verifikasi terhadap permohonan oleh pelajar."Permohonan dari agensi dan jabatan kerajaan sentiasa berlaku dan sekarang kami menerima satu lagi permohonan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan diluluskan bulan ini," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian dan Hala Tuju PADU di sini pada Isnin.Ujar beliau, PADU kini berfungsi sebagai komponen sokongan utama yang menghubungkan data merentas agensi bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran."Seperti mana jaminan yang saya berikan sebelum ini bahawa PADU ini untuk tahun 2026 kita tumpukan kepada perkhidmatan ataupun pelaksanaan."PADU akan menjadi sebagai 'back end' kepada perkhidmatan kerajaan yang lain," jelas Akmal.Menurut beliau, peluasan fungsi PADU akan diteruskan dengan pengenalan keupayaan analitik bermula Mei ini bagi menyokong proses pembuatan keputusan yang lebih tepat dan berasaskan data.Katanya, penambahbaikan itu melengkapkan fungsi sedia ada yang sebelum ini tertumpu kepada pengesahan maklumat."Untuk Mei ini, tambah satu lagi perkhidmatan PADU ditawarkan dengan tujuan analitik."Kita bukan semata-mata mengesahkan maklumat ataupun verifikasi, kita nak letakkan elemen analitik," katanya.Dalam pada itu, Akmal memaklumkan PADU kini mengandungi kira-kira 30.7 juta profil individu dengan data diperoleh daripada pelbagai agensi kerajaan."Pendaftaran PADU telah ditutup, tetapi kami menerima data daripada lebih 200 agensi, ada yang dikemas kini secara masa nyata dan ada secara berkala," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, PADU berfungsi sebagai platform bersepadu yang membolehkan agensi mendapatkan maklumat dengan lebih pantas tanpa perlu berurusan dengan pelbagai pihak."Mana-mana pihak yang nak buat verifikasi ataupun analisis berkaitan data hanya perlu datang ke PADU, tidak perlu lagi semak dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana semua data boleh diperoleh sekali gus," jelasnya.Akmal turut menegaskan bahawa penggunaan PADU membantu meningkatkan kecekapan operasi agensi kerajaan, termasuk menjimatkan masa dalam proses pengesahan data."Testimoni yang kami terima menunjukkan ada agensi yang dapat menjimatkan sehingga 70 peratus masa dan tenaga untuk membuat verifikasi data," katanya.Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa pelaburan pembangunan PADU yang menelan belanja RM85 juta sebelum ini tidak sia-sia kerana sistem tersebut kini mula dimanfaatkan secara meluas."Fasa pembinaan itu dah selesai, sekarang ini adalah fasa memberikan perkhidmatan, jadi tidak timbul isu pembaziran kerana fungsi PADU ini sangat luas dan memberi manfaat kepada agensi kerajaan," ujarnya.Menurut beliau, kerajaan kini memberi fokus untuk memastikan lebih banyak agensi memahami kepentingan penggunaan PADU dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam."Cabaran kita sekarang adalah untuk pastikan lebih banyak agensi memahami signifikan perkhidmatan ini. Selepas ini kami akan terus tingkatkan keupayaan PADU supaya lebih canggih dan membantu agensi membuat keputusan berasaskan data," katanya.
Go to News Site