Sinar Harian
SANDAKAN - Sabah menyalurkan bantuan awal kepada kesemua mangsa yang terjejas akibat kebakaran melibatkan 1,000 rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini.Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan permulaan itu diberikan sebanyak RM2,000 dari kerajaan negeri dan Yayasan Kebajikan Sabah."Hari ini saya meninjau di lapangan mangsa-mangsa kebakaran Kampung Bahagia. Kerajaan negeri amat bersimpati dengan keadaan ini. Saya lihat ii adalah satu kebakaran yang agak besar berlaku yang melibatkan hampir 1,000 buah rumah yang musnah akibat kebakaran."Jadi, saya ingin menyatakan bahawa hari ini juga kita memberi bantuan permulaan kepada mangsa-mangsa kebakaran ini sebanyak RM2,000. RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah."Jadi kita berharap dengan bantuan ini akan dapat meringankan bebanan mereka sekarang ini. Kerajaan melihat bencana pemusnahan ini begitu besar. Kawasan kampung yang terlibat boleh dikatakan hampir semua," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan lokasi kebakaran di sini pada Isnin.Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bantuan itu diserahkan kepada kesemua Ketua Isi Rumah (KIR) tanpa mengira warganegara memandangkan terdapat 70 peratus mangsa melibatkan bukan warga tempatan."Saya difahamkan lebih kurang 70 peratus yang terlibat adalah bukan warganegara Malaysia, hanya 30 peratus sahaja. Tetapi bantuan kita akan bagi kepada semua yang terlibat."Nanti kita akan terima laporan daripada jawatankuasa ataupun jabatan-jabatan yang berkaitan. Tetapi bantuan untuk mangsa ini kita akan bagi semua KIR, sebanyak RM2,000 seorang. Kita tidak peduli dia warganegara, bukan warganegara, kita kerajaan yang prihatin, kita bagi bantuan seluruhnya," katanya.Sementara itu Hajiji berkata, beliau mencadangkan agar kampung Kampung Bahagia, Batu Sapi disusun semula sebagai penempatan baharu kepada mangsa yang terlibat.Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih di peringkat awal dan kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh daripada Jawatankuasa Bencana Daerah Sandakan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.Katanya, kawasan berkenaan mempunyai sejarah tersendiri kerana sebelum ini pernah dijadikan penempatan pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), namun status itu telah ditamatkan."Sejarah kawasan kampung ini dahulunya adalah kawasan UNHCR atau penempatan pelarian, tetapi perkara itu sudah dikeluarkan dan kita bercadang menjadikannya sebagai perkampungan yang sah untuk Kampung Bahagia ini."Jadi, kita ada beberapa perancangan, namun ketika ini kita perlu menunggu laporan penuh terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya. Hajiji berkata, kerajaan negeri juga sedang meneliti cadangan pembangunan semula kawasan itu, termasuk kemungkinan menimbus kawasan berkenaan bagi membolehkan pembinaan perumahan pada masa depan.
Go to News Site