Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun prosiding kes projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion berlangsung, pendakwaan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin untuk meminda satu daripada pertuduhan yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata demikian ketika prosiding di hadapan Hakim, Azura Alwi.Wan Shaharuddin yang juga Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II berkata, pindaan hanya melibatkan pengguguran perkataan ‘menerima’ dalam pertuduhan pertama."Permohonan dibuat bagi memenuhi kehendak undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009."Seksyen itu tidak mensyaratkan elemen ‘menerima’ atau ‘meminta’, sebaliknya tertumpu kepada tujuan suapan."Jumlah RM3.3 juta kekal dalam pertuduhan dan tidak menimbulkan sebarang prejudis kepada pihak pembelaan, memandangkan pendirian pembelaan sebelum ini ialah, tertuduh tidak pernah menerima wang tersebut," katanya.Bagaimanapun, peguam, Ramkarpal Singh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan berusia 66 tahun itu membantah permohonan berkenaan.Beliau berkata, elemen ‘menerima’ merupakan elemen penting dalam pertuduhan asal dan telah menjadi asas kepada keseluruhan strategi pembelaan sepanjang perbicaraan.Menurutnya, jika perkataan itu dikeluarkan tanpa sebarang penjelasan, tambahan pula ia dibuat pada peringkat yang begitu lewat, ia akan memprejudiskan pembelaan bekas Setiausaha Agung DAP tersebut."Ini boleh memberi kesan kepada kami termasuk isu keraguan yang telah dibangkitkan terhadap elemen penerimaan dan kredibiliti saksi."Pengguguran elemen itu pada peringkat ini sudah terlalu lewat, iaitu selepas enam tahun anak guam didakwa," katanya.Ramkarpal kemudian memohon penangguhan bagi menyediakan hujahan lengkap berhubung bantahan tersebut.Beliau berkata, permohonan penangguhan bukan bertujuan melengahkan perbicaraan yang bermula 13 Julai 2021.Azura kemudian membenarkan hujahan berhubung permohonan pindaan itu didengar pada Selasa.Prosiding diteruskan dengan sesi soal balas oleh pihak pembelaan terhadap saksi pendakwaan ke-37, ahli perniagaan, Datuk Seri G Gnanaraja, 44.Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri berkenaan.Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi projek sama, yang didakwa berlaku berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2011.Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.Guan Eng didakwa kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos 2020 atas satu pertuduhan berhubung kes itu.Ia disusuli satu kes pada 10 Ogos manakala dua lagi kes pada 11 September tahun sama, di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.
Go to News Site