Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang berkhidmat di bawah misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) mengekalkan tahap kewaspadaan tinggi meskipun gencatan senjata dilaksanakan selama 10 hari antara Lubnan dan Israel.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun terdapat persetujuan gencatan senjata, pelanggaran atau provokasi masih berlaku di kawasan terbabit, sekali gus menuntut anggota MALBATT untuk sentiasa waspada.Menurutnya, pasukan MALBATT ditekankan agar mengutamakan keselamatan."Kita sentiasa menekankan kepada pasukan MALBATT supaya mengutamakan keselamatan mereka."Bergantung kepada keadaan, jika gencatan senjata dipatuhi sepenuhnya, mereka (MALBATT) akan menjalankan tugas seperti biasa."Bagaimanapun, jika berlaku pelanggaran (gencatan senjata), pasukan negara diarahkan untuk mengambil langkah perlindungan seperti berada di dalam bunker," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Pavilion Kementerian Pertahanan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini pada Isnin.Mengulas mengenai laporan membabitkan kematian seorang tentera Perancis di kawasan sempadan Lubnan baru-baru ini, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa kedudukan pasukan keselamatan negara ketika ini berada di zon yang lebih selamat.Jelasnya, MALBATT berada di kedudukan tengah, manakala pasukan dari Indonesia dan Perancis berada lebih dekat dengan sempadan Lubnan-Israel."Namun, kita tidak boleh mengambil mudah kerana ancaman misil dan roket boleh melangkaui sempadan."Sebab itu kita mesti sentiasa berhati-hati," katanya.Sebelum ini, seorang anggota tentera Perancis terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam satu serangan ke atas UNIFIL di selatan Lubnan.Presiden Perancis Emmanuel Macron dilaporkan berkata, anggota yang maut itu berkhidmat dengan Rejimen Jurutera Payung Terjun ke-17.Konflik Asia Barat tercetus apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, manakala Lubnan terheret ke dalam perang itu selepas Hizbullah melepaskan roket ke arah Israel pada 2 Mac.Sejak itu, serangan Israel di Lubnan mengorbankan lebih 2,000 orang dan menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal selain menyaksikan pencerobohan tentera darat Israel di bahagian selatan negara itu.
Go to News Site