Sinar Harian
MELAKA - Seorang pemandu bas ekspres yang dipercayai memandu dalam keadaan berbahaya dan videonya tular pada Khamis lalu telah ditahan polis.Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah pada tengah hari Isnin."Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Selasa mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," katanya pada Isnin.Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan pemandu bas berkenaan susulan tindakannya memandu secara berbahaya.Melalui video tular berdurasi satu minit 20 saat itu, suspek dilihat memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang dan hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.Berdasarkan semakan awal, kenderaan terlibat dipercayai sebuah bas ekspres milik sebuah syarikat pengendali bas yang sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.Lokasi sebenar kejadian dipercayai di sekitar Kilometer 196.1 arah selatan, namun masih dalam siasatan lanjut.Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Go to News Site