Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Perbuatan tidak bermoral seorang lelaki yang tergamak mengintai wanita di tandas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul mengundang padah apabila dia didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.Pembantu kedai makan, Abdul Samad Rosman, 23, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Aina Azahra Arifin.Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 44 tahun, di tandas wanita di LRT Sentul, jam 8 pagi pada 16 April lalu.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan menjaga kehormatan serta keselamatan awam di kawasan berkenaan.Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, CH Low yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan denda minimum menanggung ibu bapanya yang menghidap pelbagai penyakit."Abdul Samad mengaku kesal dan insaf atas perbuatan yang dilakukan selain memohon maaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama," katanya.Sebelum ini, media melaporkan mangsa telah menggunakan tandas di stesen berkenaan sebelum menyedari kehadiran seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sna terkejut selepas melihat kaki terjulur dari atas siling.Suspek melarikan diri selepas mangsa menjerit namun dia berjaya ditahan oleh polis bantuan tidak lama kemudian.
Go to News Site