Sinar Harian
DUNGUN – Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedia mempertimbangkan pengurangan kadar sewaan premis serta penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan dan pendidikan bagi meringankan beban warga yang terkesan dengan situasi ekonomi semasa.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu merupakan inisiatif sokongan buat usahawan, penyewa premis, pelajar, pendidik serta seluruh warga institusi pendidikan bawah agensi berkenaan.Menurutnya, langkah tersebut diambil susulan ketidaktentuan ekonomi global, krisis tenaga serta tekanan rantaian bekalan makanan yang secara langsung melonjakkan kos operasi perniagaan dan sara hidup rakyat."Kita minta usahawan yang benar-benar terjejas tampil berbincang dengan bahagian pinjaman atau bahagian usahawan MARA untuk mendapatkan kelonggaran, sama ada dari segi penyewaan atau penjadualan semula bayaran."Pihak kami amat prihatin dengan nasib usahawan bawah bimbingan MARA, terutamanya syarikat kecil dan sederhana (PKS). Kita akan cari jalan terbaik bagi mendepani isu kenaikan kos barangan dan minyak yang menjejaskan kos produksi serta pengangkutan," katanya.Hadir sama, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Dungun, di sini pada Isnin.Ahmad Zahid bagaimanapun memberi amaran bahawa kemudahan tersebut bukan 'lampu hijau' untuk semua pihak bersikap lepas tangan.Katanya, MARA tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak terjejas tetapi cuba mengambil kesempatan atas bantuan yang disediakan."Bilangan mereka yang terjejas belum dikenal pasti secara khusus. Mereka perlu datang berjumpa MARA dan membuktikan bagaimana perniagaan atau kewangan mereka benar-benar terkesan," jelasnya.Penubuhan MRSM Dungun yang berkeluasan 71 ekar itu merupakan maktab ke-58 di negara ini dan mampu menampung sehingga 750 pelajar, khususnya dari kawasan luar bandar bagi mengikuti pembelajaran berasaskan sains dan teknologi.
Go to News Site