Collector
Krisis tenaga global: Jaminan pembiayaan RM5 bilion bantu PMKS - PM | Collector
Krisis tenaga global: Jaminan pembiayaan RM5 bilion bantu PMKS - PM
Sinar Harian

Krisis tenaga global: Jaminan pembiayaan RM5 bilion bantu PMKS - PM

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan peruntukan jaminan pembiayaan sebanyak RM5 bilion bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat tekanan kos susulan krisis tenaga global.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebagai usaha segera memastikan kelangsungan operasi perniagaan.Menurutnya, tekanan global yang semakin meruncing menuntut tindakan pantas kerajaan bagi mengurangkan beban ditanggung pemain industri."Dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, Kerajaan Madani tidak berlengah, sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandu maklum balas secara terus daripada pemain industri."Bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Isnin.Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, jaminan pembiayaan di bawah SJPP itu ditambah baik, khusus bagi sektor terjejas termasuk pembinaan, pelancongan, pertanian dan agri-makanan, logistik serta pengangkutan.Katanya, liputan jaminan pembiayaan ditingkatkan sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini, selain tempoh jaminan dilanjutkan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun.Dalam masa sama, beliau berkata, SJPP akan bekerjasama dengan institusi perbankan bagi memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman, termasuk bantuan bayaran balik secara bersasar.Setakat ini, lebih 50,000 PMKS telah menerima manfaat melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mengumumkan kelonggaran pelaksanaan e-invois bagi meringankan beban pematuhan dalam kalangan PMKS.Anwar berkata, tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan diberikan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta."Dalam tempoh ini, perniagaan dibenarkan mengeluarkan e-invois secara disatukan dan tanpa dikenakan penalti," katanya.Selain itu, kerajaan juga mempertimbangkan pengecualian duti import dan cukai jualan secara interim ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport akibat gangguan konflik.Langkah tersebut, jelas beliau, berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2026 bagi membantu perniagaan yang terjejas akibat gangguan rantaian bekalan.Mengulas situasi semasa, Anwar berkata, konflik di Asia Barat memberi kesan meluas kepada ekonomi global termasuk gangguan bekalan tenaga, peningkatan kos logistik dan insurans serta tekanan berterusan terhadap harga input.Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan."Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan para usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat."Ini bukan situasi sementara, kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan," katanya.Tambah beliau, langkah tersebut selari dengan kerangka Ekonomi Madani yang memberi penekanan kepada bantuan bersasar dan pengukuhan daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Go to News Site