Sinar Harian
GOMBAK – Empat kenderaan rosak manakala dua laluan utama terhalang dalam dua kejadian pokok tumbang yang berlaku dalam tempoh kurang sejam di sekitar Selayang di sini pada Isnin.Dalam kejadian pertama kira-kira jam 4.18 petang, sebatang pokok dilaporkan tumbang di Jalan Prima Selayang 7 berhampiran Apartment Sri Selayang sehingga menghalang laluan utama.Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi.Menurutnya, jentera pertama tiba kira-kira tujuh minit kemudian dengan kekuatan enam anggota bagi menjalankan operasi pembersihan."Komander operasi melaporkan, terdapat sebatang pokok tumbang yang menghalang jalan dan dahan pokok berkenaan turut mengenai empat buah kenderaan.'Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan terhadap struktur bangunan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, operasi di lokasi berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.43 petang sebelum ditamatkan dua minit kemudian.Sementara itu, dalam kejadian kedua kira-kira jam 5.20 petang, satu lagi insiden pokok tumbang dilaporkan berlaku di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Height, Selayang.Ahmad Mukhlis berkata, pasukan dari BBP Selayang yang bertindak melalui respons pantas PBS bergegas ke lokasi sejauh lapan kilometer."Seramai dua anggota bersama sebuah kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi dan mendapati terdapat pokok tumbang menghalang laluan."Kerja-kerja pembersihan berjaya dilakukan dengan segera dan operasi ditamatkan pada jam 5.45 petang," katanya.Beliau berkata, kedua-dua kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Go to News Site