Sinar Harian
RANAU - Gempa bumi lemah dengan magnitud 3.4 pada skala Richter berlaku di Kundasang pada jam 3.02 pagi Selasa.Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa itu berlaku pada jarak lapan kilometer (km) barat laut dari daerah ini.Menurut kenyataan itu, gempa yang berlaku pada kedalaman 10 km itu berkemungkinan menyebabkan gegaran turut dirasai di sekitar kawasan berkenaan.Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pemantauan telah dibuat di sekitar kawasan daerah berkenaan."Pada jam 6.35 pagi, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau telah menjalankan rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan pekan Ranau, melibatkan premis kedai, bangunan kerajaan dan kawasan tumpuan."Hasil makluman daripada orang awam serta pemerhatian penjaga bangunan mendapati tiada kerosakan struktur dilaporkan setakat ini, keadaan adalah terkawal dan selamat serta tiada laporan kecederaan atau insiden susulan."Selain itu, tiada sebarang gegaran dirasai semasa kejadian," katanya.Bagaimanapun, JBPM Sabah akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan."Pasukan kita akan memberikan respons segera sekiranya terdapat laporan baharu."Orang awam juga diminta kekal tenang dan berwaspada, elakkan memasuki bangunan jika terdapat keraguan terhadap struktur. Laporkan sebarang kerosakan kepada pihak berkuasa dan ikut arahan rasmi daripada agensi keselamatan," katanya.
Go to News Site