Sinar Harian
PONTIAN – Seorang wanita warga emas kerugian RM108,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan secara dalam talian.Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, laporan daripada mangsa berusia 61 tahun yang juga pesara sektor swasta itu diterima pada Isnin."Mangsa mendakwa berurusan dengan individu yang menawarkan pakej pelaburan saham daripada sebuah syarikat yang kononnya mampu memberi pulangan sehingga 80 peratus daripada jumlah pelaburan."Tertarik dengan tawaran itu, mangsa membuat beberapa transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun yang diberikan bermula 11 Mac hingga 17 April lalu, dengan jumlah keseluruhan RM108,000," katanya dalam kenyataan.Jelas beliau, mangsa mula menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi yang digunakan sindiket."Siasatan mendapati modus operandi sindiket bermula apabila mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bersama ahli lain yang sebenarnya merupakan rakan sindiket yang menyamar sebagai pelabur."Perbualan dalam kumpulan itu memaparkan testimoni palsu yang kononnya memperoleh keuntungan lumayan."Mangsa kemudian diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan palsu melalui pautan yang diberikan sebelum diminta menambah pelaburan, manakala keuntungan yang dipaparkan hanyalah rekaan," ujarnya.Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dan tidak munasabah."Orang ramai disaran menyemak terlebih dahulu melalui CCID Infoline, perkhidmatan 'Semak Mule' serta memuat turun aplikasi Whoscall sebelum melakukan sebarang transaksi."Mereka yang menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi tindakan pantas menyekat aliran wang," katanya lagi.
Go to News Site