Sinar Harian
SHAH ALAM – Cadangan pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing secara langsung menerusi platform digital masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan.Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, terdapat pelbagai laporan serta tafsiran berbeza yang menimbulkan kekeliruan, termasuk gambaran seolah-olah keputusan telah dibuat.Menurut kementerian itu, sebarang dakwaan bahawa keputusan telah dimuktamadkan adalah tidak benar dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar kerajaan."KESUMA telah mengkaji keseluruhan ekosistem pekerja asing dan mendapati terdapat kelompongan dalam komponen perekrutan pekerja di negara sumber, khususnya ikatan hutang yang ditanggung oleh pekerja asing."Sehubungan itu, kementerian sedang meneroka keperluan untuk membangunkan platform digital berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik ekosistem pengambilan pekerja asing secara menyeluruh."Pendekatan ini membolehkan pengambilan secara langsung oleh majikan berdasarkan keperluan sebenar tenaga kerja, merangkumi keseluruhan proses di negara sumber termasuk pendaftaran, pemilihan, padanan pekerjaan, persetujuan kontrak perkhidmatan antara majikan dan pekerja serta fasilitasi penghantaran pekerja," katanya dalam kenyataan pada Selasa.KESUMA menjelaskan, kos perekrutan juga akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan memastikan tiada beban kewangan dikenakan kepada pekerja asing.Menurutnya, cadangan itu selaras dengan prinsip pengambilan pekerja yang adil dan beretika seperti digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), selain berpotensi menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa."Ia juga dilihat mampu menyokong usaha Malaysia mencapai penarafan Tier 1 dalam laporan Pemerdagangan Orang oleh Amerika Syarikat."Cadangan ini hanya tertumpu kepada proses perekrutan pekerja asing di negara sumber sahaja, pada peringkat pasca kelulusan kuota dan tidak mengganggu proses pra-perekrutan sedia ada," ujarnya.Sistem tersebut, menurutnya, akan diintegrasikan dengan platform kerajaan sedia ada seperti Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) dan National Integrated Immigration System (NIISe).KESUMA turut memaklumkan, sesi libat urus awal sedang dijalankan bersama negara sumber tenaga kerja seperti Bangladesh, Indonesia dan India selain pemain industri serta penyedia teknologi berkaitan."Sebarang keputusan kelak akan melalui proses pertimbangan serta kelulusan Kabinet selepas libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan."KESUMA kekal komited memperkukuh pembangunan bakat tempatan sebagai teras utama reformasi pasaran buruh negara selaras agenda jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)," jelasnya.
Go to News Site