Sinar Harian
GEORGE TOWN - Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Tanjung Tokong, di sini pada Isnin.Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 6.45 petang.Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 16, dan ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat lapan kondominium berkenaan pada jam 5.49 petang."Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Abdul Rozak berkata, mayat telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, selain Laporan Mati Mengejut (LMM) telah dibuka bagi melengkapkan siasatan. - Bernama
Go to News Site