Sinar Harian
KUALA LUMPUR - UMNO tekad memperkukuh perpaduan dalaman dan memperhebat strategi mendekati generasi muda sebagai usaha memastikan kelangsungan parti itu dalam landskap politik semasa.Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, menginjak usia 80 tahun, parti terbesar orang Melayu itu tetap bertahan sebagai pejuang kepentingan bangsa dan negara meskipun pernah melalui pelbagai fasa mencabar termasuk krisis kepimpinan.Beliau berkata, sepanjang lebih 60 tahun menerajui pentadbiran negara, UMNO telah membuktikan keupayaannya memacu kemajuan dan kemakmuran menerusi pelbagai dasar yang masih relevan sehingga kini."UMNO kini lebih dinamik serta mahu tampil lebih kuat dengan melaksanakan dasar yang lebih praktikal, pragmatik dan mengikut tuntutan peredaran semasa serta keperluan rakyat," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi, yang turut menampilkan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi.Mohd Razlan berkata, sambutan ulang tahun UMNO ke-80 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 1 hingga 5 Mei ini amat signifikan untuk menelusuri kejayaan parti, selain menjadi platform mendekati rakyat khususnya golongan muda.Antara program utama yang dijadualkan ialah Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera, Karnival Keusahawanan Pendidikan serta Majlis Khas Ramah Mesra Pemuda dan Puteri UMNO bersama ahli baharu.Mengulas mengenai konsep "Rumah Bangsa", beliau berkata, setakat ini lebih 6,000 individu termasuk tokoh berpengalaman seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin serta Tan Sri Syed Hamid Albar telah kembali kepada parti sekali gus mencerminkan keterbukaan UMNO.Sementara itu, Aliff Firdaus mengakui cabaran terbesar parti ketika ini adalah mendekati generasi muda yang tidak melalui sendiri sejarah perjuangan awal UMNO.Beliau berkata, sayap Pemuda dan Puteri kini menggalas tanggungjawab besar sebagai duta untuk memperkenalkan perjuangan parti menerusi penglibatan di peringkat akar umbi dan penggunaan platform media baharu."UMNO perlu menyesuaikan pendekatan komunikasi agar lebih dekat dengan generasi muda tanpa mengabaikan fakta dan realiti sebenar, kena ikut peredaran masa dan tidak boleh ketinggalan. Kita tak boleh ikut cara lama atau statik dan pemimpin perlu dengar apa yang rakyat nak, bukan rakyat kena ikut apa pemimpin nak," katanya.Selain itu, beliau berkata, UMNO kini berada di landasan tepat untuk mengukuhkan kedudukannya menerusi transformasi berterusan, sekali gus membuktikan kematangan organisasi itu untuk kekal sebagai pilihan rakyat. - Bernama
Go to News Site