Sinar Harian
SHAH ALAM - Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya mungkin tidak akan menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun akan datang.Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pemisahan peranan itu akan terus tertangguh sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) tersebut tidak dibentangkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang."Ini kebimbangan terbesar saya," katanya ketika berucap pada forum mengenai pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Wisma Majlis Peguam Malaysia, Kuala Lumpur pada Isnin.Pada 16 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan berharap dapat mencari ‘titik tengah’ sebelum Jun dalam usaha memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.Menurutnya, Putrajaya sedang terus mendapatkan pandangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan parti politik sebelum membentangkan pindaan Perlembagaan.Pada 3 Mac lalu, kerajaan mengumumkan bahawa RUU untuk memisahkan fungsi bertindih Peguam Negara ditangguhkan dan dirujuk kepada sebuah jawatankuasa Parlimen yang baharu ditubuhkan.Syed Saddiq berkata, tanpa sebarang kompromi, reformasi itu berisiko ditinggalkan kerana ia boleh dilihat sebagai isu yang memecahbelahkan dan tidak berbaloi untuk diteruskan."Tentangan politik juga boleh berpunca daripada bagaimana reformasi tersebut ditafsirkan, sehingga menyukarkan usaha untuk mendapatkan sokongan," katanya.Bagaimanapun, Syed Saddiq mengulangi gesaan Azalina dan menggesa semua pihak berkepentingan mencari titik persamaan.Katanya, walaupun hanya separuh reformasi dilaksanakan, ia tetap bermakna.
Go to News Site