Sinar Harian
TANAH MERAH - Tiga lelaki dan seorang wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian melepaskan tembakan terhadap seorang penternak lembu di Ladang Kemahang di sini awal pagi Isnin telah dibebaskan selepas permohonan reman ke atas kesemua individu terbabit ditolak oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini membuat keputusan berkenaan selepas mendapati bahawa kesemua suspek berusia antara 21 hingga 45 tahun, termasuk seorang warga Indonesia, tidak mempunyai ‘nexus’ atau kaitan mencukupi antara mereka dengan kesalahan yang sedang disiasat.Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi dengan menaiki trak polis.Sebelum itu, Sinar Harian pada Isnin melaporkan polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan terhadap seorang penternak lembu di Ladang Kemahang di sini awal pagi Isnin.Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, cedera selepas terkena tembakan di bahagian dagu ketika melakukan rondaan bersama rakannya bagi mengesan kegiatan curi lembu.Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.26 pagi.Menurut beliau, sebelum kejadian pengadu yang merupakan jurujual berusia 35 tahun bersama rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan sejak jam 1.30 pagi."Mereka kemudian terserempak dengan sekumpulan kira-kira lima lelaki dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan Thailand."Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pengadu dan rakannya," katanya dalam satu kenyataan.Beliau memberitahu, kedua-dua mangsa bertindak melarikan diri bagi menyelamatkan diri sejurus kejadian berlaku.Menurutnya, seorang daripada mereka, iaitu Mohd Khairul Amri bagaimanapun terkena tembakan di bahagian dagu.Ujar beliau, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tanah Merah dan kini menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan.Mohd Haki memberitahu, dalam kejadian sama, sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik mangsa turut dilarikan salah seorang suspek yang dipercayai warga tempatan.Tambah beliau, semua suspek dianggarkan seramai lima orang dan usaha mengesan serta menangkap mereka sedang giat dijalankan."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya.
Go to News Site