Sinar Harian
AYER KEROH - Seorang anggota tentera berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Selasa berkaitan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan, selain memiliki pelbagai gambar serta video lucah dalam simpanan telefon bimbitnya minggu lalu.Tertuduh, Muhammad Fudhail Fathollah Hamdan, 23, membuat pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dengan menarik mangsa masuk ke dalam rumah dan menolak badan mangsa ke dinding.Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan menarik mangsa masuk ke dalam rumah serta memegang kedua-dua tangan mangsa sambil memaksa mangsa membuka mulut.Kedua-kedua perbuatan itu dilakukan pada 12 April lalu sekitar jam 4.30 petang, semasa berada di sebuah rumah kosong tidak berpenghuni di Jalan Serindit, Kem Terendak Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki pelbagai gambar dan video lucah yang disimpan dalam telefon bimbitnya dirampas oleh pihak polis semasa pemeriksaan di Pejabat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada 13 April 2026 sekitar jam 8 malam.Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan wang jaminan RM20,000 bagi pertuduhan pertama serta RM20,000 masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga serta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa, saksi pendakwaan selain syarat lain yang difikirkan perlu oleh mahkamah.Tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Amritpal Singh dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh merancang menamatkan zaman bujang hujung tahun ini selain keluarganya tidak berkemampuan membayar jumlah jaminan tinggi.Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Mei depan.
Go to News Site