Collector
KDN perkukuh keselamatan maritim, tambah kapal MPMS tangani ancaman pencerobohan | Collector
KDN perkukuh keselamatan maritim, tambah kapal MPMS tangani ancaman pencerobohan
Sinar Harian

KDN perkukuh keselamatan maritim, tambah kapal MPMS tangani ancaman pencerobohan

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh keupayaan keselamatan maritim negara menerusi perolehan kapal pelbagai misi (MPMS) kedua bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perolehan aset itu penting bagi menangani ancaman pencerobohan serta jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks di perairan negara.Menurut beliau, kontrak pembinaan kapal kedua tersebut dianugerahkan kepada syarikat Desan Shipyard berpangkalan di Turkiye dengan nilai AS$ 83.75 juta."Perolehan ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan kelima tahun 2025 sebagai sebahagian usaha memperkukuh keupayaan APMM dalam mengawasi keselamatan maritim negara," katanya.Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian kontrak perolehan MPMS kedua, di kementeriannya di sini pada Selasa.Ujar Saifuddin, projek pembinaan kapal itu dijangka disiapkan dalam tempoh 24 bulan dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang 31 Januari 2028.Beliau menjelaskan, keyakinan terhadap keupayaan syarikat pembina itu disandarkan kepada prestasi pembinaan kapal MPMS pertama yang kini mencapai kemajuan 70 peratus, mendahului jadual sebanyak tiga peratus atau 21 hari."Prestasi ini memberi keyakinan bahawa kedua-dua kapal mampu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan," ujarnya.Tambah beliau, kapal MPMS berfungsi sebagai "mother ship" yang dilengkapi keupayaan rondaan jarak jauh, sistem komunikasi canggih serta kemudahan pendaratan helikopter.Katanya, aset sepanjang 99 meter itu mampu meningkatkan keupayaan operasi APMM termasuk rondaan, pemantauan, penguatkuasaan dan operasi mencari serta menyelamat (SAR)."Dengan saiz dan keupayaan ini, kapal boleh beroperasi lebih lama di laut serta menampung jumlah kru yang lebih besar berbanding aset sedia ada," jelas beliau.Saifuddin berkata, penambahan aset itu amat penting memandangkan keluasan perairan negara yang mencecah kira-kira 590,000 kilometer persegi.Menurutnya, kawasan operasi APMM meliputi sehingga 200 batu nautika Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) yang terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk pencerobohan kapal asing dan aktiviti nelayan asing."Jika nelayan asing menceroboh, hasil laut negara akan terjejas, manakala kehadiran kapal asing pula memberi ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan," katanya.Beliau turut menegaskan bahawa laluan strategik seperti Selat Melaka yang menjadi antara laluan perdagangan terpenting dunia turut berada di bawah tanggungjawab pemantauan APMM.Dalam masa sama, beliau berkata, peningkatan aktiviti penyeludupan di laut turut dipengaruhi faktor jurang harga bahan api susulan pemberian subsidi."Perbezaan harga itu menyebabkan bahawa kadang-kadang aktiviti penyeludupan di laut menjadi begitu meningkat," jelasnya.Sehubungan itu, katanya, perolehan kapal MPMS dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kepentingan ekonomi negara terus terpelihara.

Go to News Site