Sinar Harian
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Aksi berbahaya seorang pemandu e-hailing memandu kenderaan melawan arus sehingga tular di media sosial akhirnya memakan diri apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menaikkan hukuman penjara daripada tiga hari kepada tiga bulan.Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan semakan hukuman terhadap Wong Kok Kong, 32.Mahkamah mengekalkan hukuman denda RM6,000 serta pembatalan lesen memandu selama lima tahun yang diputuskan Mahkamah Majistret di sini pada 6 April lalu.Semasa prosiding, pendakwaan selaku pemohon, yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail berkata, hukuman penjara tiga hari yang dikenakan sebelum ini terlalu ringan.Beliau berhujah, pemenjaraan itu juga tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh selaku responden."Kesalahan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain."Dia sedar akan kesalahan yang dilakukan kerana tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol," katanya.Bagaimanapun, peguam, K Gejalaxmi yang mewakili responden, merayu mahkamah mengekalkan hukuman asal kerana sudah memadai dan bersifat adil.Beliau berkata, hukuman lebih panjang akan menjejaskan kehidupannya kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga serta perlu menyara bapa yang sakit kanser paru-paru.Katanya, Kok Kong telah menjalani hukuman penjara tiga hari malah membayar denda tersebut."Tiada sesiapa yang cedera atau harta benda tidak rosak akibat perbuatan anak guam yang ketika kejadian dalam perjalanan mengambil penumpang berhampiran sebuah pusat membeli-belah."Ketika itu, dia panik, mahu keluar secepat mungkin dan bergantung kepada aplikasi navigasi semata-mata," katanya.Peguam berhujah, Kok Kong menyedari telah tersilap jalan lalu cuba membuat pusingan U.Dua minggu lalu, Majistret, Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM6,000 terhadap tertuduh.Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.Mengikut pertuduhan, Kok Kong didakwa memandu Proton Saga putih secara melulu dan berbahaya dengan melawan arus di Jalan Klang Lama, jam 9.44 pagi pada 5 April lalu.Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Go to News Site