Collector
Shukor gesa anak buah waspada perangkap Laos | Collector
Shukor gesa anak buah waspada perangkap Laos
Sinar Harian

Shukor gesa anak buah waspada perangkap Laos

KETUA jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Shukor Adan mengingatkan anak buahnya agar tidak terperangkap dalam permainan Laos yang berbahaya menjelang aksi separuh akhir kejuaraan ASEAN B-17 2026 di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo, Indonesia hari ini (4.30 petang waktu Malaysia).Skuad B-16 mara ke separuh akhir selepas menamatkan saingan Kumpulan A sebagai naib juara, manakala Laos mengejutkan banyak pihak apabila menjuarai Kumpulan B tanpa kalah, termasuk kejayaan luar biasa menewaskan Thailand 3-2 dalam perlawanan terakhir.Shukor yang juga bekas pemain kebangsaan mengakui Laos memiliki kekuatan yang tidak boleh dipandang remeh dan agresif ketika melakukan serangan balas."Laos adalah pasukan yang sangat komited dengan semangat berpasukan yang tinggi. Mereka mempamerkan serangan balas yang pantas dan berbahaya ketika berdepan Thailand dan ini satu aspek yang perlu diberi perhatian serius."Kami tidak boleh memandang rendah mereka. Meskipun kami sudah berada di separuh akhir, perlawanan ini tetap penting."Apa pun, kami sudah menganalisis Laos dan akan cuba mengimbangi serangan mereka selain tampil dengan permainan terbaik kami," kata Shukor.Beliau menegaskan, walaupun kejayaan mara ke separuh akhir sudah mencapai sasaran awal, Malaysia tetap berhasrat untuk melangkah lebih jauh dan menempah tempat di final.Sementara itu, kapten pasukan, Adam Muqri Muhaizam optimis rakan sepasukannya mampu mencipta keputusan positif menentang Laos.Menurutnya, sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia telah memberi motivasi tambahan kepada pasukan."Alhamdulillah, kami telah berjaya mencapai sasaran untuk mara ke separuh akhir. Kami sangat berterima kasih atas sokongan peminat dan kini fokus kami adalah untuk pergi lebih jauh."Kami bersedia sepenuhnya, dari segi mental dan fizikal untuk perlawanan ini," ujar Adam.Satu lagi aksi separuh akhir menemukan juara Kumpulan C Australia dan juara Kumpulan A Vietnam dengan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung Jumaat ini.Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam kejohanan ini adalah juara dalam dua edisi iaitu pada 2013 dan 2019.Edisi 2024 di Indonesia sebelum ini menyaksikan skuad negara tersingkir di peringkat kumpulan apabila menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan C.

Go to News Site