Sinar Harian
"CORETAN ini membuat aku terisak-isak menangis. Tangisan bahagia yang tidak terjadi sejak bertubi-tubi fitnah melanda kami sekeluarga."Demikian luahan pelakon Norish Karman yang mengakui sebak selepas menerima mesej peribadi (DM) daripada seorang pengikut di media sosial yang menyentuh perasaannya.Menerusi hantaran terbaharu di Instagram semalam, Norish berkata dia sebelum ini memilih untuk mengabaikan kecaman dan tohmahan, namun mesej yang diterimanya kali ini benar-benar memberi kesan mendalam sehingga tidak dapat menahan tangisan.Menurut Norish atau lebih dikenali sebagai NK, dia tidak pernah berasa lemah dengan serangan netizen yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap keluarganya sebelum ini."Tiadalah aku menangis membaca komen negatif. Tidak sama sekali tercalar dengan kata-kata dusta sang iblis bertopengkan manusia," tulisnya.Bagaimanapun, situasi berubah apabila dia membaca perkongsian individu berkenaan yang dipercayai melalui pengalaman hidup hampir sama seperti yang sedang dihadapinya bersama keluarga.Jelas Norish, kata-kata semangat serta doa yang diberikan agar dia terus istiqamah disifatkan sebagai satu keajaiban yang memberinya kekuatan luar biasa untuk terus bertahan.Dalam hantaran sama, beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kehadiran individu tersebut yang dianggap sebagai kiriman istimewa daripada ALLAH SWT."Terima kasih wahai insan mulia kiriman ALLAH SWT. Walaupun kita belum pernah bersua, namun dikau adalah anugerah untuk kami sekeluarga terus bangkit dengan keyakinan dan melangkah ke hadapan," katanya.Terdahulu, kehidupan peribadi Norish Karman menjadi perhatian di media sosial susulan ujian penyakit kronik yang dihadapinya selain kekangan kewangan yang turut memberi tekanan kepada keluarganya.
Go to News Site