Collector
Kerajaan negeri ringankan urusan ke Tanah Suci | Collector
Kerajaan negeri ringankan urusan ke Tanah Suci
Sinar Harian

Kerajaan negeri ringankan urusan ke Tanah Suci

IPOH – Bantuan khas RM1,000 yang diumumkan Kerajaan Negeri Perak kepada bakal jemaah haji bagi musim 1447H/2026M disifatkan sebagai inisiatif signifikan yang meringankan beban kewangan selain membantu melancarkan persiapan ke Tanah Suci.Menurut bakal jemaah haji dari Tapah, Abdul Rahim Mohamad, 42, sumbangan itu amat bermakna khususnya bagi mereka yang pertama kali menunaikan ibadah berkenaan."Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Menteri Besar Perak atas sumbangan ini. Ia boleh dijadikan wang saku tambahan untuk digunakan di tanah suci nanti," katanya ketika ditemui sempena perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Institut Tadbiran Islam Perak di sini baru-baru ini.Bagi seorang lagi bakal jemaah dari Taiping, Liyana Farhana Zainudin, 25, bantuan tersebut hadir tepat pada masanya memandangkan dia masih belum bekerja.Katanya, perbelanjaan persiapan haji yang mencecah hampir RM1,000 dapat dikurangkan dengan adanya bantuan berkenaan."Alhamdulillah, saya bersyukur, bantuan ini membantu mengurangkan beban perbelanjaan, terutama untuk persiapan awal," katanya yang akan berangkat bersama ahli keluarga pada Mei depan.Sementara itu, pasangan suami isteri, Allias Kamarudin, 56, dan Noor Syarina Mohamad Arifin, 40, turut menyifatkan bantuan tersebut sebagai satu penghargaan bermakna daripada kerajaan negeri.Menurut mereka, kos persiapan untuk menunaikan haji bukanlah kecil, malah boleh mencecah sehingga RM10,000 bagi dua orang hanya untuk perbelanjaan di Tanah Suci."Memang banyak kos yang perlu ditanggung, jadi bantuan RM1,000 seorang ini sangat membantu dan mengurangkan beban kewangan kami," katanya.Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap merasmikan majlis tersebut berkata, bantuan khas tersebut merupakan antara usaha kerajaan negeri bagi membantu bakal jemaah membuat persiapan menyeluruh sebelum menunaikan ibadah haji.Menurutnya, inisiatif itu diumumkan dalam Belanjawan 2026 hasil kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh."Alhamdulillah, berkat kemakmuran ekonomi negeri dan kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh, saya telah mengumumkan dalam Belanjawan 2026 bahawa kerajaan negeri memperuntukkan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada semua bakal haji Perak," katanya.Beliau berkata, bantuan itu diharap dapat memudahkan urusan jemaah selain memberi sedikit kelegaan dari segi kewangan.Secara keseluruhan, bantuan khas RM1,000 itu bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menjadi manifestasi keprihatinan kerajaan negeri dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat selaras dengan matlamat Perak Sejahtera 2030.

Go to News Site