Collector
HHIN 2026 tonjol peranan IP, buka peluang ekonomi baharu | Collector
HHIN 2026 tonjol peranan IP, buka peluang ekonomi baharu
Sinar Harian

HHIN 2026 tonjol peranan IP, buka peluang ekonomi baharu

PETALING JAYA – Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2026 (HHIN 2026) bakal berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 April ini di Menara MyIPO, dengan pelbagai pengisian program komprehensif bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan harta intelek sebagai pemacu pembangunan negara.Mengangkat tema "Harta Intelek Nadi Malaysia MADANI: IP & Sukan – Dari Idea ke Podium", penganjuran kali ini memberi penekanan khusus kepada peranan harta intelek dalam menyokong ekosistem industri sukan yang semakin berkembang dan berdaya saing.Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, sambutan HHIN merupakan platform penting dalam usaha membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan rakyat Malaysia, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.Menurut beliau, melalui penganjuran ini, masyarakat ingin didedahkan bahawa idea dan kreativiti adalah aset bernilai yang perlu dilindungi."Harta intelek bukan sahaja berfungsi melindungi ciptaan, malah berupaya membuka peluang ekonomi yang luas kepada individu dan organisasi," katanya.Beliau turut menjelaskan bahawa tema yang dipilih mencerminkan realiti semasa industri sukan yang tidak lagi tertumpu kepada prestasi atlet semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai aspek inovasi termasuk teknologi peralatan, pembangunan jenama serta kandungan digital."Setiap kejayaan dalam arena sukan bermula daripada satu idea. Apabila idea ini dilindungi melalui sistem harta intelek, ia berpotensi dikembangkan menjadi produk atau perkhidmatan bernilai tinggi yang mampu bersaing di peringkat global," ujarnya.Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung berpeluang menyertai Seminar dan Forum Nasional Harta Intelek yang menghimpunkan pakar industri, ahli akademik serta pemain utama dalam sektor sukan dan inovasi.Kemuncak sambutan adalah Majlis Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026 yang dijadual berlangsung pada 30 April. Sejak diperkenalkan pada 2006, anugerah berprestij ini mengiktiraf pencapaian cemerlang individu, organisasi dan institusi dalam memanfaatkan harta intelek sebagai sumber nilai ekonomi.Bagi edisi kali ini, enam kategori utama dipertandingkan, termasuk pengiktirafan kepada pencipta, pemilik jenama serta pelajar yang menunjukkan potensi dalam bidang inovasi. Turut diperkenalkan ialah Anugerah Inspirasi MADANI yang memberi penghargaan kepada tokoh dan organisasi dalam industri sukan yang berjaya membina jenama kukuh melalui pengurusan harta intelek yang berkesan.Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk hadir memeriahkan Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2026 serta merebut peluang mendalami kepentingan harta intelek dalam kehidupan seharian.Kehadiran anda bukan sahaja menyokong usaha memperkasa budaya inovasi, malah membuka ruang untuk memahami bagaimana idea boleh diterjemah menjadi kejayaan. Jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama dari 28 hingga 30 April ini di Menara MyIPO.

Go to News Site