Sinar Harian
PASIR MAS - Seorang lelaki warga tempatan dan etnik Rohingya yang bertindak sebagai tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menyeludup seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar serta Bangladesh bulan lalu.Tertuduh Mohd Rozi Isa, 48, dan Solim Sultan Amin, 31, yang memiliki kad pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.Bagimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes melibatkan penyeludupan migran.Hal ini kerana ia bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Mengikut pertuduhan, Mohd Rozi dan Solim menyeludup warga Myamar dan Bangladesh dengan menggunakan kenderaan Perodua Bezza di kawasan semak di Kampung Telaga Bata Chabang Empat, Tumpat pada 25 Mac lalu.Kesalahan itu dilakukan pada jam 11 malam.Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na'ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin kerana jaminan bagi kes tersebut perlu dimohon di Mahkamah Tinggi.Mahkamah turut menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Go to News Site