Sinar Harian
PUTRAJAYA – Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo mempersoalkan status siasatan kes tembakan di Durian Tunggal, tahun lalu yang disifatkannya masih kabur.Beliau yang juga Menteri Digital menegaskan, Peguam Negara perlu segera memberikan penjelasan terbuka berhubung kedudukan terkini kes berkenaan.Menurutnya, tempoh hampir lima bulan tanpa keputusan jelas menimbulkan tanda tanya terhadap hala tuju tindakan seterusnya."Kes ini tidak boleh dipandang ringan. Dakwaan serius telah dikemukakan dan bukti, termasuk rakaman audio, telah dikemukakan bagi menyokong dakwaan tersebut."Dalam keadaan ini, adalah wajar untuk menuntut penjelasan mengenai perkembangan siasat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Ujar Gobind, kes berkenaan merupakan perkara berkepentingan awam."Kira-kira lima bulan telah berlalu sejak insiden itu berlaku, namun begitu, sehingga kini dilihat tiada tindakan muktamad diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat."Orang ramai berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan keluarga mangsa berhak mendapat jawapan serta keadilan," kata Ahli Parlimen Damansara itu.Terdahulu media melaporkan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati dalam kejadian jam 4.30 pagi pada 24 November tahun lalu.Insiden berkenaan berlaku selepas salah seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di lengan kiri.Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar sebelum ini memaklumkan kesemua suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tahun 2024 dan terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM1.35 juta.Bagaimanapun, pada 3 Disember tahun sama, ahli keluarga suspek menafikan dakwaan bahawa mangsa bertindak agresif terhadap pasukan keselamatan, sekali gus mendorong pihak polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan tersebut susulan ketidakpuasan hati pihak keluarga terhadap tindakan polis.Siasatan polis mengenai kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).AGC membuat keputusan selepas meneliti laporan polis dan bersetuju dengan cadangan PDRM untuk kes tersebut dikategorikan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Go to News Site