Collector
Pemuda Pas Selangor kecam cadangan ternakan babi moden | Collector
Pemuda Pas Selangor kecam cadangan ternakan babi moden
Sinar Harian

Pemuda Pas Selangor kecam cadangan ternakan babi moden

SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Kembangan, Wong Siew Ki yang mencadangkan penerokaan semula sistem penternakan babi moden dan tertutup di negeri ini.Menurutnya, cadangan itu disifatkan sebagai biadab serta tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan walaupun dibalut dengan pendekatan teknologi seperti konsep sifar pelepasan dan kitar semula biogas kepada tenaga elektrik.Beliau menegaskan bahawa pokok isu bukan terletak pada teknologi yang digunakan, sebaliknya membabitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang jelas tidak membenarkan lagi penternakan babi di negeri berkenaan."Keputusan juga sudah dibuat oleh kerajaan negeri untuk tidak lagi mengeluarkan lesen baharu, menutup ladang sedia ada secara berperingkat serta memenuhi keperluan bekalan melalui import sepenuhnya."Apabila titah Tuanku sudah jelas, cubaan menghidupkan semula cadangan ini, walaupun dengan istilah moden, tetap menunjukkan sikap tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Mohamed Sukri berkata bahawa isu penternakan babi bukan sekadar perbahasan teknikal, sebaliknya membabitkan adab, sensitiviti masyarakat majmuk, alam sekitar serta ketenteraman negeri.Katanya, kebebasan berhujah dalam Sidang DUN tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membangkitkan semula perkara yang sudah dimuktamadkan di peringkat tertinggi negeri.Sehubungan itu, beliau mendesak Speaker DUN Selangor serta jawatankuasa berkaitan menyiasat perkara berkenaan secara serius."Jika didapati benar, tindakan tatatertib tegas perlu dipertimbangkan termasuk penggantungan ADUN Sri Kembangan daripada sidang DUN sehingga 12 bulan."Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh maruah Dewan, tertib kenegaraan serta penghormatan kepada institusi negeri," jelas beliau.Beliau menegaskan bahawa semua wakil rakyat perlu menunjukkan adab, menghormati titah Sultan Selangor serta berhujah secara berhemah demi menjaga keharmonian dan kedaulatan negeri.Terdahulu, Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri untuk memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.Beliau berkata bahawa cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan."Isu penternakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan lain kerana risiko pencemaran, kebersihan serta kesihatan adalah sama."Namun amat dukacita apabila isu ini sering dijadikan polemik politik oleh pelbagai pihak termasuk bekas ahli politik," katanya.Menurutnya, pendekatan penternakan moden melalui sistem tertutup dengan konsep sifar pelepasan serta teknologi kitar semula sisa kepada biogas dan tenaga elektrik boleh dipertimbangkan.Katanya, sistem itu sudah terbukti berjaya dilaksanakan di beberapa negeri lain dan Selangor tidak seharusnya ketinggalan dalam mengadaptasi teknologi berkenaan.Dalam masa sama, Siew Ki berkata bahawa kebergantungan sepenuhnya kepada import bagi sumber makanan juga berisiko dalam jangka panjang, justeru memerlukan penelitian semula dasar sedia ada."Tambahan pula, kebergantungan sepenuhnya kepada import bagi sumber makanan adalah berisiko dalam jangka panjang," tegas beliau.Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan bahawa Sultan Selangor menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.Baginda bertitah bahawa meskipun arahan telah dikeluarkan sebelum ini, masih kedengaran rungutan yang mempertikaikan keputusan berkenaan.

Go to News Site