Sinar Harian
KUCHING - "Saya menjerit meminta tolong dan masih dalam keadaan sedar ketika itu … saya menunggu kira-kira sejam sebelum ambulans tiba."Demikian detik cemas dilalui seorang penghantar makanan, Putra Aqmal Syukrie Sabli, 24, yang kini kehilangan kaki kiri akibat kemalangan langgar lari yang berlaku pada 30 Mac lalu.Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 8.30 malam, dia dalam perjalanan menghantar pesanan dari Jalan Song ke Stutong sebelum sebuah kenderaan dipercayai jenis Toyota Avanza secara tiba-tiba membelok masuk ke simpang kanan.Putra Aqmal berkata, dia cuba mengelak kenderaan tersebut, namun kaki kirinya bergesel dengan sisi kereta berkenaan sebelum terjatuh di atas jalan raya.Dalam pada itu, ibunya, Afidah Suhaili, 68, meluahkan rasa luluh melihat keadaan anak lelaki tunggalnya yang terpaksa menjalani amputasi kaki kiri akibat insiden berkenaan.Beliau merayu pemandu terlibat supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan, sambil menegaskan keluarganya tidak berniat untuk berdendam."Kami bukan mahu berdendam, cuma berharap dia tampil dan bertanggungjawab supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Bako, baru-baru ini.Menurut Afidah, terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah berhampiran lokasi kejadian yang menunjukkan pemandu terbabit sempat keluar dari kenderaan sebelum beredar, namun nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti kerana tidak jelas.Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai rakaman CCTV atau kamera papan pemuka (dashcam) supaya tampil membantu siasatan polis.Afidah berkata, kejadian itu memberi kesan mendalam kepada keluarga apabila kehidupan anak bongsunya seolah-olah berubah sekelip mata.Tambahnya, walaupun kaki anaknya tidak terputus ketika kejadian, mereka terpaksa menunggu hampir 15 jam sebelum pembedahan dilakukan bermula jam 4.30 pagi keesokan hari."Doktor pada mulanya cuba menyambung semula urat pada kaki, namun akhirnya terpaksa melakukan amputasi bagi menyelamatkan nyawanya," katanya.Putra Aqmal yang juga alumni Madrasah Darul Uloom Islamiyyah Kuching serta bekas imam sementara di Surau Mahmudi, Kampung Gita, reda dengan ujian yang dihadapinya."ALLAH belum ambil nyawa saya, cuma kaki saya sahaja," katanya yang sebelum ini memperoleh kira-kira RM2,000 sebulan sebagai penghantar makanan selain mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran.Afidah yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata anaknya kini masih menjalani rawatan susulan dan pemulihan di hospital, sebelum dijadual menerima kaki palsu bernilai sekitar RM50,000 dalam beberapa bulan lagi.Katanya, keluarga juga sedang memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selain menerima sumbangan daripada wakil rakyat dan orang ramai, dengan kos ubat-ubatan serta keperluan tambahan dianggarkan sekitar RM1,000 sebulan.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya."Tiada laporan polis dibuat oleh pemandu kenderaan terlibat setakat ini dan tiada saksi tampil membantu siasatan," katanya.Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank bernombor 7634990678 atas nama Aqma Syaidatulfieka Sabli, kakak mangsa.
Go to News Site