Sinar Harian
SHAH ALAM – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merehatkan serta-merta ahlinya yang terlibat dalam siasatan berkaitan pengurusan dana zakat selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya mengambil maklum laporan berhubung penahanan tiga individu di Hulu Selangor susulan kes berkenaan.Menurutnya, IKRAM memandang serius perkara itu dan menegaskan bahawa integriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi."Sehubungan itu, IKRAM menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak SPRM dan akan terus memberikan kerjasama yang sewajarnya, selaras dengan keperluan undang-undang serta prinsip keadilan."Selain itu, sebagai langkah pentadbiran dan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi. Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Terdahulu, media melaporkan bahawa tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditahan pada Selasa kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.Menurut sumber, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an telah ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Lembah Klang.Dalam pada itu, Badlishah Sham berkata, perkara berkenaan melibatkan tindakan individu dan tidak melibatkan organisasi secara langsung.Menurutnya, selaras dengan perlembagaan IKRAM, jika didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara."IKRAM akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara ini. Segala keputusan dan penjelasan adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa."Kami juga komited untuk terus menilai dan memperkukuh amalan tadbir urus organisasi agar telus, berintegriti serta selaras dengan tuntutan syarak dan prinsip kedaulatan undang-undang. Semakan dalaman sedang dan akan diteruskan bagi memastikan penilaian yang menyeluruh."Keprihatinan semua pihak amat kami hargai dan memohon agar ruang diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sewajarnya," katanya.Tambahnya lagi, IKRAM kekal berpegang bahawa amanah adalah tanggungjawab besar yang perlu dipelihara dengan penuh integriti dan akan terus diperkukuhkan.
Go to News Site