Collector
Mesyuarat Cabang PKR Kuala Selangor tegang, usul tidak percaya lulus - Thiban | Collector
Mesyuarat Cabang PKR Kuala Selangor tegang, usul tidak percaya lulus - Thiban
Sinar Harian

Mesyuarat Cabang PKR Kuala Selangor tegang, usul tidak percaya lulus - Thiban

KUALA SELANGOR - Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor didakwa berlangsung dalam suasana tegang sebelum berakhir dengan kontroversi termasuk usul undi tidak percaya terhadap pimpinan cabang.Bekas Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, S Thiban menjelaskan, mesyuarat yang diadakan pada Ahad lalu di sebuah hotel di sini tidak dibatalkan, sebaliknya diteruskan mengikut peraturan walaupun berdepan beberapa insiden.Menurutnya, kehadiran perwakilan melebihi 300 orang menyebabkan dewan sesak, berbanding kapasiti kecil disediakan pihak penganjur yang hanya menjangkakan kehadiran minimum."Situasi itu berlaku susulan ketidakpuasan hati anggota termasuk pemfailan tiga usul undi tidak percaya terhadap Ketua Cabang (KC) dan Timbalan Ketua Cabang (TKC)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Beliau mendakwa, mesyuarat bermula kira-kira jam 10.40 pagi, namun timbul kekecohan awal apabila prosedur rasmi seperti nyanyian lagu Negaraku tidak dilaksanakan sebelum ditegur oleh ahli jawatankuasa (AJK) cabang."Malangnya, teguran itu disambut dengan reaksi tidak wajar oleh KC sebelum keadaan diperbetulkan dan majlis dimulakan semula," jelasnya.Menurut Thiban, keadaan menjadi lebih tegang ketika pembentangan minit mesyuarat apabila dokumen tidak disediakan kepada perwakilan, selain berlaku insiden provokasi melibatkan seorang AJK cabang terhadap perwakilan wanita menggunakan kata-kata kesat dan lucah.Katanya, kegagalan pimpinan cabang mengambil tindakan segera meredakan keadaan menimbulkan persepsi insiden itu sengaja dicetuskan bagi menggagalkan mesyuarat."Meskipun keadaan berjaya dikawal Pengerusi Tetap, Setiausaha Cabang secara tiba-tiba mengumumkan penangguhan mesyuarat."Namun, Pengerusi Tetap menegaskan mesyuarat perlu diteruskan sebelum beberapa pimpinan termasuk KC dan TKC bertindak meninggalkan dewan," jelasnya.Beliau berkata, mesyuarat kemudiannya diteruskan oleh Naib Ketua Cabang bersama pimpinan lain yang masih berada di dalam dewan."Antara keputusan dicapai termasuk pemilihan perwakilan ke Kongres Nasional serta kelulusan sebulat suara usul undi tidak percaya terhadap KC dan TKC."Mesyuarat ditangguhkan secara rasmi oleh Naib Ketua Cabang selepas semua urusan selesai," jelasnya.Dalam perkembangan sama, Thiban berkata, beliau akan membawa isu berkenaan ke perhatian Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk tindakan lanjut.Beliau turut memaklumkan perwakilan wanita yang menjadi mangsa provokasi telah membuat laporan polis."Saya mengecam keras tindakan tidak bermoral ini dan akan terus berdiri solidariti bersama mangsa."Kita tidak boleh berkompromi dengan budaya provokasi, apatah lagi melibatkan maruah wanita demi kelangsungan politik," tambah beliau.

Go to News Site