Collector
Ops Green Shield: 763 kontena e-waste dikesan di Pelabuhan Klang | Collector
Ops Green Shield: 763 kontena e-waste dikesan di Pelabuhan Klang
Sinar Harian

Ops Green Shield: 763 kontena e-waste dikesan di Pelabuhan Klang

KLANG – Sebanyak 763 kontena sisa elektronik atau e-waste berjaya dikesan menerusi pelaksanaan Ops Green Shield yang dilancarkan sejak 27 Februari lalu di Pelabuhan Klang.Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Joint Task Force (JTF) e-waste itu dilihat sebagai langkah berterusan dalam melindungi kelestarian alam sekitar serta memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara."Operasi Fasa 1, sebanyak 148 kontena telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 21 kontena berjaya dilaksanakan tindakan penghantaran semula ke negara asal mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa."Operasi Fasa 2 pula, sebanyak 615 kontena kini dalam tindakan susulan melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Nik Ezanee berkata, daripada jumlah tersebut, 131 kontena berada di bawah siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), 112 kontena di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), manakala 372 kontena melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang telah diperiksa pada tahun lalu."JTF e-waste Pelabuhan Klang turut mengenal pasti empat syarikat perkapalan yang masih belum memberikan maklum balas berhubung 15 kontena yang terlibat," katanya.Menurutnya, surat peringatan akan dikeluarkan kepada pihak terlibat sekiranya gagal memberikan maklum balas selewat-lewatnya pada 2 Mei ini."Tindakan lanjut termasuk pembekuan lesen secara sementara akan diambil sehingga semua kontena terbabit dikeluarkan sepenuhnya," katanya.Nik Ezanee berkata, AKPS akan terus mempergiat pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa sisa elektronik terlarang."Langkah itu selaras dengan pelaksanaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa pada 1 April lalu menerusi pewartaan Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026," katanya.

Go to News Site