Sinar Harian
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan rasmi dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan penyelewengan dana bantuan.MAIWP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mempunyai ejen yang dilantik Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk mengutip zakat harta, fitrah dan wakaf dengan bayaran komisen yang ditetapkan.Menurutnya, peranan agen kutipan adalah memberikan penerangan kepada bakal pembayar, membuat perkiraan atau tafsiran zakat dan menerima pembayaran yang dibuat terus ke akaun PPZ-MAIWP dengan butiran pembayaran yang lengkap."Bagi kaedah Wakalah pula, individu atau organisasi yang diberikan kebenaran mengagihkan zakat menerusi pulangan sebahagian daripada bayaran zakat kepada asnaf tertakluk syarat yang ditetapkan."Kaedah penyaluran bagi permohonan wakalah adalah secara berperingkat setelah pelaporan agihan diserahkan kepada MAIWP. Selain itu, penerima wakalah perlu membenarkan Unit Audit Dalaman MAIWP menjalankan pengauditan bagi setiap transaksi penyaluran dana menerusi wakalah ini," jelasnya pada Rabu.Pada selasa Sinar Harian melaporkan, tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.Dua suspek lelaki berusia 50-an dan 60-an ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi sekitar Lembah Klang.Seorang lagi suspek berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2 petang.Siasatan awal mendapati kesemua suspek, termasuk dua pengarah syarikat, disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024.Dalam pada itu MAIWP turut mendedahkan rekod jumlah kutipan zakat untuk tiga tahun terkini bermula 2023 hingga 2025."Jumlah kutipan zakat terus meningkat daripada RM1.03 bilion pada tahun 2023 kepada RM1.13 bilion pada tahun 2024 dan seterusnya RM1.24 bilion pada tahun 2025."Dalam tempoh yang sama, agihan zakat telah dilaksanakan secara agresif dan menyeluruh, iaitu sebanyak RM1.02 bilion pada tahun 2023, RM1.22 bilion pada tahun 2024 dan RM1.28 bilion pada tahun 2025," katanya.MAIWP turut menjelaskan agihan zakat pada 2024 dan 2025 yang melebihi kutipan semasa membuktikan komitmen dalam mendahulukan kebajikan asnaf tanpa kompromi melalui penggunaan dana terkumpul.Tambahnya, pencapaian Sijil Bersih Ketua Audit Negara selama 19 tahun berturut-turut menjadi bukti kukuh akauntabiliti dan disiplin kewangan bahawa MAIWP bebas daripada sebarang penyelewengan.Justeru, pihaknya menyatakan sokongan penuhnya terhadap tindakan SPRM dalam menyiasat dan membanteras sebarang penyalahgunaan dana yang melibatkan wang kebajikan."Integriti dalam pengurusan dana awam, terutamanya dana zakat adalah perkara yang tidak boleh dikompromi."Kami ingin memberi jaminan kepada seluruh pembayar zakat di Wilayah Persekutuan bahawa kutipan dana anda diuruskan dengan penuh amanah dan dikawal selia melalui proses audit yang berkala," katanya lagi.
Go to News Site