Collector
Khairy dakwa Kabinet terima nasihat salah isu larangan rokok | Collector
Khairy dakwa Kabinet terima nasihat salah isu larangan rokok
Sinar Harian

Khairy dakwa Kabinet terima nasihat salah isu larangan rokok

SHAH ALAM – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendakwa Malaysia sebenarnya mampu meluluskan undang-undang melarang generasi baharu membeli rokok seperti yang diluluskan Parlimen Britain sekiranya nasihat yang diberikan kepada Kabinet mengenai perkara itu sebelum ini tidak tersasar.Beliau mendakwa, Peguam Negara ketika itu telah memberikan nasihat yang salah kepada Kabinet mengenai peruntukan undang-undang terbabit.Khairy berkata, draf asal peruntukan undang-undang itu sudah disiapkan sebelum beliau meninggalkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2022 susulan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)."Tahniah kepada United Kingdom (UK). Ya, memang terdapat isu-isu yang sah berkaitan penguatkuasaan, tetapi ini kemenangan besar untuk kesihatan awam. Malaysia sepatutnya boleh meluluskan undang-undang ini."Saya sudah menyediakannya sebelum saya meninggalkan KKM. Namun, peruntukan tersebut digugurkan kerana nampaknya industri tembakau dan vape telah meyakinkan Kabinet untuk menolaknya."Pada pandangan saya, Peguam Negara ketika itu telah memberi nasihat yang salah kepada Kabinet," katanya menerusi hantaran di Instagram Stories pada Rabu merujuk kepada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok atau Generasi Penamat Rokok (GEG).Sebelum ini, peruntukan GEG yang bertujuan melarang penjualan dan penggunaan produk tembakau kepada mereka yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 telah digugurkan daripada RUU Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023.Malah, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, turut memohon maaf di Dewan Negara atas pengguguran peruntukan itu yang menurut Jabatan Peguam Negara adalah tidak berperlembagaan.Pada Selasa, dua dewan Parlimen Britain meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan melarang kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah membeli rokok sepanjang hayat mereka.RUU tembakau dan vape itu bertujuan menghalang sesiapa yang lahir selepas 1 Januari 2009, iaitu yang kini berusia 17 tahun daripada mula merokok.

Go to News Site