Sinar Harian
SHAH ALAM - Kemudahan khas berjumlah RM10 bilion diumumkan kerajaan menjadi suntikan penting dalam memastikan kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kini berdepan tekanan kos operasi akibat krisis tenaga global.Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah tersebut penting bagi menstabilkan kedudukan kewangan perniagaan kecil yang semakin terjejas akibat peningkatan harga bahan api dan kos perniagaan lain."Apabila berlaku kejutan ekonomi seperti peningkatan harga bahan api dan kos perniagaan, margin keuntungan akan merosot, khususnya bagi perniagaan kecil yang sememangnya mempunyai margin tipis."Keadaan itu menjadikan mereka sangat rentan dan jika berterusan, ia boleh menjejaskan daya maju perniagaan termasuk berdepan masalah aliran tunai," katanya kepada Sinar Harian.Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kemudahan khas berjumlah RM5 bilion di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu PMKS yang terkesan mengharungi tekanan kos susulan krisis tenaga global.Beliau berkata, kemudahan itu melengkapi tambahan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diumumkan pada Isnin khusus untuk menyokong PMKS terjejas.Justeru, Mohd Afzanizam berkata, campur tangan kerajaan melalui kemudahan khas menerusi SJPP adalah langkah tepat bagi menstabilkan kedudukan sektor berkenaan.Menurutnya, langkah tersebut akan membuka ruang lebih luas kepada institusi perbankan menyalurkan pembiayaan kepada PMKS yang layak, sekali gus membantu kelangsungan perniagaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.Mengulas lanjut, beliau berpandangan kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk subsidi, namun penambahbaikan dari segi penyampaian perlu diberi perhatian."Kebimbangan saya adalah mereka yang layak tetapi tercicir mungkin disebabkan isu data atau dokumentasi. Perkara itu perlu diperbaiki supaya bantuan sampai kepada kumpulan sasaran dengan segera."Selain itu, penyaluran bantuan juga perlu dilaksanakan dengan segera kerana faktor masa amat kritikal. Bantuan yang lambat diterima tetap boleh menimbulkan kesukaran kepada penerima," katanya.Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, pengumuman kemudahan khas itu bukan hanya memberikan kelegaan kepada PMKS, tetapi juga talian hayat kepada operasi sektor itu untuk terus mendepani cabaran ekonomi di tengah-tengah kegawatan harga minyak tidak menentu.Menurutnya, tambahan bantuan menjadikan jumlah pembiayaan di bawah SJPP mencecah RM 10 bilion sehingga tempoh 2035 membolehkan syarikat PMKS menstruktur semula kos operasi dan pengeluaran bagi mengoptimumkan keuntungan secara lebih efektif."Sudah pasti kemudahan diumumkan bukan sahaja membantu pihak PMKS tetapi juga ia dilihat memberi kesan limpahan kepada ekonomi negara melalui kekuatan dan ketahanan PMKS yang masih mampu mengekalkan kestabilan permintaan dan penawaran dalam pasaran."Selain itu, ia juga dilihat menjadi tulang belakang kepada kekuatan ekonomi Malaysia dalam mengukuhkan lagi ekonomi domestik bagi mengimbangi ekonomi global yang tidak menentu," ujarnya.Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar kerajaan terus menggesa institusi kewangan dan bukan kewangan memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu merancakkan ekonomi negara, termasuk menyediakan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih fleksibel kepada PMKS.Jelasnya, langkah itu dapat memberi ruang kepada syarikat untuk menjana lebihan pendapatan yang seterusnya boleh digunakan kembali bagi meningkatkan produktiviti serta penawaran barangan dan perkhidmatan.
Go to News Site