Sinar Harian
SUBANG JAYA – Tindakan seorang lelaki memakai vest dan helmet Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa kebenaran menerusi satu video tular baru-baru ini mengundang padah sebelum diberkas.Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung video tular berkenaan pada 22 April lalu."Video berkenaan memaparkan seorang lelaki memakai pakaian serta helmet berlogo polis tanpa kebenaran."Kejadian itu dipercayai berlaku pada 17 April lalu dan dirakam serta dimuat naik menerusi platform TikTok," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, susulan penularan video berkenaan, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun di kawasan USJ, di sini."Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan akan direman untuk tindakan lanjut."Kes disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut."Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan," katanya.Terdahulu tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki memakai vest dan helmet polis sebelum ketika menahan seorang penunggang motosikal.
Go to News Site