Collector
60 tahun menjunjung amanah | Collector
60 tahun menjunjung amanah
Sinar Harian

60 tahun menjunjung amanah

SHAH ALAM - Sejarah tidak sekadar merakam perjalanan masa, tetapi juga memikul amanah yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Dalam pembangunan bangsa bumiputera, amanah ini melangkaui tanggungjawab pentadbiran, ia adalah janji untuk memastikan masa depan terus diangkat martabatnya, diperluas peluang dan kesejahteraan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.Tanggal 1 Mac 1966, lahirlah Majlis Amanah Rakyat (MARA), sebuah nama keramat yang menjadi lambang era baharu, sebuah badan berkanun yang termaktub di bawah Akta Parlimen, hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama tahun 1965.MARA, era baharu yang meneruskan amanah perjuangan dan mandat bagi memaju, menggalak serta melaksanakan pembangunan sosioekonomi dan kemasyarakatan, khususnya di wilayah luar bandar yang sekian lama mendambakan pembelaan.Kini genap enam dekad berlalu. Dalam tempoh yang panjang itu, MARA berkembang mekar menjadi institusi unggul bertaraf dunia. Dari ruang kuliah yang sederhana hingga ke pusat inovasi yang canggih, dari desa terpencil hingga ke pentas antarabangsa, jejak langkah MARA terpahat megah dalam lembaran pembangunan negara.Sejak itu, MARA berdiri atas landasan memperkasakan pendidikan dan ekonomi bumiputera. Berakar daripada aspirasi pembangunan luar bandar, MARA berkembang sebagai institusi strategik yang memacu mobiliti sosial dan membina kekuatan ekonomi bangsa secara tersusun.MARA hari ini mengoperasikan lebih 270 institusi TVET sebagai tunjang pembangunan bakat kemahiran bumi- putera. Penjenamaan semula TVETMARA melibatkan 25 institusi terpilih dilaksanakan bagi memperkukuh imej, standard serta memposisikan TVET lebih moden dan berorientasikan masa hadapan.Sebanyak 429 bidang ditawarkan merangkumi sektor strategik daripada kejuruteraan dan automasi hingga tenaga boleh diperbaharui serta teknousahawan yang mencerminkan komitmen MARA menyediakan laluan kemahiran yang relevan dan berimpak tinggi. TVETMARA kini berkembang sebagai ekosistem pembangunan bakat teknikal dan profesional yang menyokong agenda perindustrian negara serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bertaraf global."Inilah amanah MARA, membina masa depan bangsa melalui bakat berdaya saing global," kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.Amanah ini diterjemahkan melalui tindakan. Dari pembangunan pendidikan hingga pembudayaan keusahawanan, setiap inisiatif dirangka bagi memperkukuh daya saing masyarakat. Hasilnya, MARA melahirkan generasi profesional dan usahawan yang bukan sahaja berjaya secara individu, tetapi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, pencipta peluang pekerjaan dan penyumbang kepada pembangunan negara.Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman menegaskan bahawa kesinambungan amanah MARA terus diperkukuh melalui pendekatan 3P iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan, yang menjadi teras dalam memperluas peranan bumiputera bukan sekadar sebagai peserta ekonomi, tetapi juga sebagai pemilik dan penguasa dalam rantaian nilai yang lebih besar serta berimpak tinggi.Manakala, Lima Tekad MARA pula menggariskan komitmen untuk mempercepatkan pelaksanaan strategi dan inisiatif secara lebih cekap, berkesan dan berimpak tinggi, di samping mempermudah urusan pelanggan serta memperkukuh pendekatan bottom-up yang menjadikan suara warga kerja dan pelanggan sebagai asas dalam proses membuat keputusan.Dalam masa yang sama, pengukuhan dana Wakaf MARA Madani dipertingkatkan dan kesejahteraan warga kerja terus diberi keutamaan kepada bakat muda untuk kepimpinan masa hadapan.Ia bukan lagi pilihan tetapi ia keperluan strategi agar MARA beroperasi sebagai sebuah entiti unggul yang tersusun dan berpaksikan Amanah Rakyat. Pendekatan ini selari dengan semangatnya iaitu memacu pelaksanaan dan mengukuhkan kebersamaan dalam seluruh ekosistem MARA.Dalam kerangka ini, pendidikan menjadi wahana utama membentuk kepimpinan. Melalui pendekatan pendidikan Huffaz yang holistik, gabungan kecemerlangan akademik, penguasaan ilmu agama dan pembinaan sahsiah memberi ruang MARA melahirkan generasi pemimpin yang seimbang dan berwibawa.Lebih daripada itu, generasi Huffaz muncul sebagai aset strategik negara, berupaya memimpin dalam pelbagai sektor termasuk profesional, ekonomi dan pentadbiran dengan berteraskan nilai integriti dan keteguhan prinsip."Huffaz bukan sekadar penjaga hafalan, tetapi pewaris amanah kepimpinan untuk membimbing masa depan dengan ilmu, iman dan integriti."Pendekatan ini mengangkat keseimbangan antara kecerdasan intelektual dan kekuatan spiritual, sekali gus mencorakkan kepimpinan masa hadapan yang berdaya tahan dan berteraskan nilai.MARA terus berperanan sebagai pemangkin perubahan melalui pendidikan holistik, sokongan keusahawanan dan pembangunan komuniti inklusif. Setiap kejayaan pelajar dan usahawan bukan sekadar pencapaian individu, tetapi menjadi pemangkin kepada mobiliti sosial, memperluas peluang ekonomi serta mengangkat kedudukan bumiputera dalam arus pembangunan negara yang semakin kompetitif.Menjunjung amanah adalah tanggungjawab kolektif. Kemajuan hari ini lahir daripada kepercayaan dan pengorbanan masa lalu. Justeru, amanah ini perlu terus dipelihara dan diperkasakan demi masa depan yang lebih bermakna.Kerana pada akhirnya, amanah yang dijunjung hari ini adalah warisan untuk generasi akan datang dan selagi ia dipegang dengan integriti, selagi itu harapan akan terus bernyala. Warisan kepimpinan, tanggungjawab berterusan membina masa depan bangsa.Sambutan 60 Tahun MARA bertemakan ‘Menjunjung Amanah’ akan berlangsung pada 1 hingga 5 Mei 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) sebagai satu himpunan bersejarah yang meraikan perjalanan enam dekad kecemerlangan MARA.Acara ini bakal menzahirkan kejayaan dan legasi MARA dalam membangunkan ekonomi bumiputera, berteraskan amanah yang dipikul oleh kepimpinan terdahulu hingga kini.Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran menyeluruh merangkumi sektor usahawan, pelaburan, khidmat pengurusan dan pendidikan yang menjadi tunjang kekuatan ekosistem MARA.Pelbagai program menarik telah dirangka untuk orang ramai antaranya Career Crafting, Education Fair, Bless Talk bersama pemain industri dan usahawan, Pocket Talk serta Business Matching yang membuka ruang jaringan dan peluang baharu kepada usahwan.Tidak ketinggalan, pengunjung turut disajikan dengan jualan produk usahawan, makanan dan minuman, demonstrasi interaktif, Karnival Waqaf MADANI, PMV Investment Day serta pelbagai aktiviti komuniti dan hiburan.Sambutan ini bukan sekadar sebuah acara, tetapi sebuah pengalaman menyeluruh yang mengangkat semangat keusahawanan, pendidikan dan pelaburan.Orang ramai dijemput hadir untuk merasai sendiri kehebatan dan kemeriahan 60 tahun legasi MARA.

Go to News Site