Sinar Harian
PUTRAJAYA - Bantuan khas RM300 bagi setiap murid warga Malaysia yang terjejas dalam kebakaran besar Kampung Bahagian, Sandakan, Sabah telah dikreditkan ke akaun sekolah.Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak sekolah akan segera melaksanakan agihan bantuan tersebut kepada murid supaya bantuan tersebut dapat digunakan untuk melakukan persediaan kelengkapan persekolahan.Selain itu katanya, murid terjejas diberi kelonggaran pakaian seragam sekolah."Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan pejabat pendidikan daerah (PPD) Sandakan turut telah diminta untuk memenuhi keperluan murid termasuk bantuan pengangkutan ke sekolah," kata beliau menerusi kenyataan pada Khamis.Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat lokasi kebakaran pada Rabu mengumumkan pemberian sumbangan ihsan sebanyak RM1,500 kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia.Sumbangan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM450,000 yang akan disalur kepada 300 keluarga yang sudah dikenal pasti.Beliau turut mengumumkan bantuan sebanyak RM300 masing-masing kepada anak penduduk warganegara yang masih bersekolah.Ia dijangka memanfaatkan 454 murid dan pelajar daripada 12 sekolah.Dalam pada itu, Fadhlina berkata, sokongan psikososial juga disediakan untuk murid, guru dan warga pendidikan yang terlibat."KPM berusaha memastikan bantuan terbaik dapat disalurkan kepada semua murid terjejas dan aspek kebajikan serta kesejahteraan diberi perhatian," jelas beliau.Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia di sini memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.
Go to News Site