Sinar Harian
PUTRAJAYA – Dua peguam direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan dana pemegang amanah kira-kira RM8 juta.Perintah reman terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 9.45 malam Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini."Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi tujuan pengeluaran dana pemegang amanah untuk sebuah projek pembangunan hartanah di ibu negara."Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2023 hingga 2025," katanya.Sumber berkata, wang berjumlah kira-kira RM8 juta yang merupakan dana amanah itu sepatutnya digunakan bagi tujuan penyelenggaraan sebuah bangunan."Bagaimanapun, wang berkenaan dipercayai masih belum diserahkan kepada pihak pemaju dan disyaki digunakan bagi kepentingan peribadi serta pelaburan," katanya.Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Go to News Site