Sinar Harian
KUALA TERENGGANU - Seorang kelindan lori berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki pada 11 April lalu.Tertuduh, Muhammad Firdaus Zamri, 31, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian ke atas Muhammad Adamdanial Abdul Khafidh, 4, dengan niat hendak menyebabkan suatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Banggol Katong di sini, kira-kira jam 6 petang pada 11 April 2026.Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Muhammad Firdaus didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap mangsa yang juga anak angkatnya dengan menggunakan sebatang rotan di lokasi dan masa yang sama.Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan 29 April ini sebagai tarikh hukuman.
Go to News Site