Sinar Harian
SHAH ALAM – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau menegaskan Akta Hasutan tidak seharusnya digunakan terhadap individu yang menyuarakan pandangan anti-kerajaan.Menurut beliau, kritikan terhadap dasar dan tindakan kerajaan adalah hak rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan bersuara, dan tidak wajar dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.Katanya, kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah meminda undang-undang dengan mengeluarkan 'ucapan anti-kerajaan' daripada skop Akta Hasutan."Mana-mana kerajaan yang memerintah seharusnya menghormati Perlembagaan, mendengar suara rakyat serta menerima pandangan secara terbuka."Kritikan terhadap kerajaan tidak boleh disamakan dengan hasutan, sebaliknya kerajaan perlu bersikap terbuka untuk memperbaiki kelemahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Beliau turut menegaskan, pihak yang benar-benar mengancam keamanan seperti mereka yang menghasut keganasan, menggugat keselamatan negara atau menghina institusi diraja wajar dikenakan tindakan tegas."Namun, kritikan terhadap kerajaan tidak boleh dianggap sebagai ancaman kepada kedaulatan negara," ujarnya lagi.Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menjelaskan tindakan menyiasat dan memanggil individu yang mengeluarkan kenyataan anti-kerajaan di bawah Akta Hasutan.Dalam masa sama, beliau berkata, kritikan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki turut membawa kepada siasatan oleh pihak berkuasa, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada tindakan tersebut bertujuan mengekang suara rakyat daripada menyatakan kebenaran.Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mematuhi pindaan undang-undang 2015, sebaliknya dilihat semakin kerap menggunakan Akta Hasutan untuk menangkap dan mendakwa individu yang mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri.Dalam pada itu, beliau menyindir bahawa janji untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh pihak tertentu sebelum ini tidak ditunaikan, sebaliknya hanya dasar lain yang dimansuhkan."Lebih membimbangkan, apabila menjadi kerajaan, pendekatan yang diambil dilihat mengekang kebebasan bersuara yang sebelum ini diperjuangkan."Jika Malaysia benar-benar ingin menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang dan demokrasi, maka Akta Hasutan perlu dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang baharu yang lebih selari dengan pemikiran serta keperluan rakyat masa kini," tambahnya.
Go to News Site