Sinar Harian
KOTA BHARU - Orang ramai diminta agar tidak terburu-buru membuat spekulasi susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa menyeleweng dana zakat sebanyak RM230 juta.Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan tanpa gangguan.Menurut beliau, tindakan mencampuri proses siasatan bukan sahaja tidak wajar, malah boleh menjejaskan integriti penyiasatan."Macam ini, kita perlu tunggu pihak SPRM membuat siasatan. Kita tidak boleh mengganggu atau mencampuri (interfere) bahagian penyiasatan ini sebab itu bukan bidang kuasa kita."Pesan saya, tenang dulu, bagi pihak berkuasa buat kerja dan jangan kita buat spekulasi," katanya ketika diminta mengulas kenyataan dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO berhubung kes menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.Sebelum itu beliau menyantuni pelajar tadika yang menyertai kursus haji cilik di Masjid Jamek Muhammadi di sini pada Khamis.Marhamah mengakui isu tersebut memberi kesan kepada keyakinan masyarakat kepada pungutan zakat.Beliau sebaliknya menegaskan bahawa ujian sebegini bukanlah sesuatu yang baharu."Beginilah dunia. Di zaman Rasulullah pun ada penyelewengan, apatah lagi di zaman sekarang. Kita tidak boleh elak ujian," katanya.Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak menjadi punca perpecahan dengan menyebarkan sentimen negatif yang belum tentu sahih.Ujarnya, yang penting ialah bagaimana semua pihak hendak memurnikan keadaan supaya masyarakat tenang."Jangan jadi ejen perpecahan atau pergaduhan sehingga negativiti tersebar."Kita semua akan dihisab...saya, tuan dan puan. Saya tidak sanggup menjawab benda yang saya tidak tahu dan tidak mahu menanggung perkara yang bukan dalam pengetahuan saya," tegasnya.Sinar Harian pada Rabu melaporkan, dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO ditahan reman selama empat hari bermula hari ini chingga 25 April bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki yang masing-masing berumur 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis setelah SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam.Kes berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM 2009.
Go to News Site