Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan serta perdagangan minyak, gas dan petroleum bersama bekas isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan pengubahan wang haram, dua tahun lalu.Shamsul Rijal Mohd Yussof, 74, dan Hamidah Ab Hamid, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.Mengikut pertuduhan pertama, mereka yang juga bekas pengarah Syarikat Spectrum Global Sdn Bhd didakwa secara niat bersama menerima wang daripada akaun bank milik Spectrum Global Sdn Bhd berjumlah RM122,000 yang ditunaikan melalui akaun bank milik sebuah entiti perniagaan yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Taman Melawati pada 26 Februari 2024.Pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.Dalam pada itu, Hamidah berdepan pertuduhan kedua iaitu menerima wang RM130,000 daripada akaun milik Spectrum Global ke akaun milik tertuduh, yang mana harta tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram.Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada 6 Mac 2024 dan 29 Mac 2024, mengikut perenggan yang sama serta hukuman serupa.Sementara itu, di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus, Shamsul Rijal didakwa atas pertuduhan kedua iaitu menipu Afifi Ahmad, 49, dengan memperdayakannya dalam pelaburan perniagaan minyak diesel dengan menjanjikan keuntungan.Warga emas itu didakwa dengan curang mendorong mangsa membuat pindahan wang sebanyak RM725,000 ke akaun sebuah bank yang didaftarkan atas nama syarikat Spectrum Global, sedangkan mangsa tidak akan membuat transaksi tersebut sekiranya tidak diperdaya.Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Desa Sri Hartamas, Brickfields pada jam 2.39 petang, 26 Februari 2024.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.Mengikut pertuduhan ketiga, lelaki yang telah bankrap itu didakwa menerima wang daripada akaun bank milik Spectrum Global berjumlah RM20,000 yang ditunaikan melalui akaun bank milik seorang wanita berusia 63 tahun yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Jalan Tun Razak pada 15 Mac 2024.Pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1)(b) akta yang sama.Perenggan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana R Azmi, Siti Hajar Mat Radzi dan Muhammad Zulhilmi Abd Latif.Pembelaan bagi pihak Shamsul Rijal diwakili peguam Farhanna Roslan, manakala Hamidah tidak diwakili peguam.Shamsul Rijal dibenarkan diikat jamin sebanyak RM50,000, manakala Hamidah RM20,000 dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Jun depan.
Go to News Site