Collector
Tiada bukti kluster kanser PPUM, tahap keselamatan radiasi selamat - KKM | Collector
Tiada bukti kluster kanser PPUM, tahap keselamatan radiasi selamat - KKM
Sinar Harian

Tiada bukti kluster kanser PPUM, tahap keselamatan radiasi selamat - KKM

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan tiada bukti teknikal menunjukkan kewujudan kluster kanser dalam kalangan kakitangan di Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas siasatan menyeluruh dijalankan.Menerusi kenyataan pada Khamis, KKM menjelaskan, siasatan telah dilaksanakan bagi menilai tahap keselamatan radiasi serta pematuhan terhadap keperluan perundangan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) mendapati tahap keselamatan radiasi di fasiliti berkenaan adalah selamat, terkawal serta tiada isu pematuhan keselamatan sinaran yang kritikal."Sehubungan itu, tiada bukti teknikal yang menyokong dakwaan bahawa pendedahan radiasi di fasiliti ini telah menyebabkan kejadian kanser dalam kalangan kakitangan," katanya.Tegas KKM, keselamatan pesakit, pekerja kesihatan dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan dengan pemantauan berkala serta audit pematuhan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua fasiliti mematuhi standard keselamatan radiasi yang ditetapkan."Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan awam."KKM komited untuk memastikan ketelusan maklumat dan akan terus menyalurkan maklumat yang tepat berdasarkan bukti teknikal," jelas kementerian berkenaan.Sebelum ini wujud dakwaan kluster kanser di fasiliti perubatan PPUM yang mencetuskan kebimbangan awam, khususnya berkaitan penggunaan teknologi sinaran dalam rawatan dan diagnosis perubatan.Bekas juru X-ray di PPUM, Nur Fauzia Abdul Razak mendakwa, berlaku pelanggaran serius prosedur keselamatan radiasi di Unit Perubatan Nuklear hospital berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan kakitangan dan pesakit.Nur Fauzia yang kini disahkan menghidap kanser Hodgkin's Lymphoma tahap empat berkata, dia terpaksa dibersarakan awal kerana tidak lagi mampu bekerja dan masih menjalani rawatan kemoterapi.Dakwanya lagi, peningkatan kes penyakit dalam kalangan kakitangan mula dikesan selepas pemasangan mesin Positron Emission Tomography-Computed Tomography (PET-CT) di Menara Selatan PPUM beberapa tahun lalu.Sehingga kini tiga staf turut disahkan menghidap kanser paru-paru, kanser darah dan kanser payu dara manakala empat lagi mengalami masalah tiroid.

Go to News Site