Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Seorang peguam yang sebelum ini dikenakan bon berkelakuan baik kerana memandu dalam keadaan mabuk menerima padah apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mengetepikan hukuman terbabit dan menggantikannya kepada hukuman penjara 14 hari serta denda RM12,000.Hukuman lebih berat itu diputuskan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin terhadap Chia Wilson, 38, selepas mahkamah menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret bertarikh 15 April lalu yang hanya mengenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM3,000 selama dua tahun.Selain hukuman penjara, mahkamah turut membatalkan lesen memandunya selama dua tahun dan dia akan dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.Mahkamah turut mengarahkan Chia menjalani hukuman penjara serta-merta bermula Khamis melainkan permohonan penangguhan hukuman difailkan di Mahkamah Rayuan.Mengikut fakta kes, tertuduh mengaku bersalah memandu kereta jenis Mercedes dengan kandungan alkohol sebanyak 71 miligram (mg) dalam 100 mililiter darah, melebihi had ditetapkan iaitu 50 mg.Kesalahan itu dilakukan di Jalan Awan Besar dari Bukit Jalil ke arah Puchong sekitar jam 12.40 tengah malam pada 27 Februari lalu.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun serta denda antara RM10,000 hingga RM30,000.Ia termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun.Semasa prosiding, peguam Ng Chia How yang mewakili tertuduh selaku responden merayu mahkamah mengekalkan keputusan mahkamah rendah dengan alasan hukuman itu sudah memadai.Menurutnya, anak guamnya mengakui kesilapan dan menyesal atas perbuatan yang dilakukan."Dia mengalami kemurungan dan bukan seorang penjenayah tegar selain mempunyai masa depan yang cerah kerana masih boleh menyumbang kepada masyarakat."Ketika kejadian, tiada kemalangan atau kecederaan berlaku," katanya.Bagaimanapun, pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail berhujah bahawa, hukuman bon yang diberi terlalu ringan dan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan."Selaku seorang peguam profesional, dia sepatutnya lebih arif mengenai undang-undang serta risiko terhadap pengguna jalan raya," katanya.Pada hari kejadian, responden ditahan polis dalam satu Op mabuk, di jalan berkenaan.
Go to News Site