Sinar Harian
TANAH MERAH - Suspek utama kes tembak seorang penternak lembu sehingga mendatangkan kecederaan di bahagian dagu dalam kejadian di Felda Kemahang 1 di sini pada Isnin lalu dipercayai melarikan diri ke Thailand.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek yang berusia 40-an itu telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan dengan kerjasama polis negara jiran.Menurut beliau, setakat ini pihaknya telah menahan empat individu warga tempatan bagi membantu siasatan kes mencuri lembu di kawasan berkenaan."Siasatan awal mendapati kegiatan mencuri lembu itu dipercayai melibatkan kerjasama antara warga tempatan dan Thailand."Di mana lembu yang dicuri telah dijual kembali ke pasaran tempatan dengan harga murah sekitar RM2,000 sahaja," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini pada Khamis.Sebelum itu, Sinar Harian pada Isnin melaporkan polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan terhadap seorang penternak lembu di Ladang Kemahang di sini awal pagi Isnin.Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, cedera selepas terkena tembakan di bahagian dagu ketika melakukan rondaan bersama rakannya bagi mengesan kegiatan mencuri lembu.Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.26 pagi.Menurut beliau, sebelum kejadian, pengadu yang merupakan jurujual berusia 35 tahun bersama rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan sejak jam 1.30 pagi."Mereka kemudian terserempak dengan sekumpulan kira-kira lima lelaki yang dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan Thailand."Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pengadu dan rakannya," katanya dalam satu kenyataan.
Go to News Site